PETALING JAYA – Penyanyi, pelakon dan juga pengacara terkenal, Alif Satar mendedahkan bahawa dirinya sah positif Covid-19.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran gambar berserta status dalam Instagramnya hari ini.
Menurut pelantun lagu Jangan Nakal itu, dia melakukan beberapa ujian saringan Covid-19 selepas bimbang kerana terlalu sibuk menjalani penggambaran.
“Assalamualaikum, dalam kesibukan Alif menjalani penggambaran, Alif telah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19. Malangnya, keputusan terkini yang Alif terima hari ini telah menunjukkan bahawa Alif didapati positif Covid-19.
“Perkara ini amatlah mengejutkan dan mendukacitakan. Perkara pertama apabila Alif dapat tahu keputusan ini semestinya tahap keselamatan keluarga , isteri dan anak-anak, rakan-rakan di set penggambaran dan semestinya kontak-kontak rapat yang telah berjumpa dengan Alif.
“Alif juga telah memberi nama kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), kontak rapat yang Alif bertemu dalam tempoh 14 hari. Alif mohon maaf atas segala kesulitan ini dan mohon doa semua agar diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah S.W.T. Alif doa agar semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” katanya yang menjalani kuarantin.
Berdasarkan sekeping gambar yang dikongsikan, pengacara rancangan realiti Big Stage yang berpasangan dengan Sherry Al-Hadad itu dilihat turut mengenakan pakaian pesakit hospital.
Pada Jumaat lalu, Alif merupakan salah seorang penyanyi yang turut bertanding dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 dengan menyanyikan lagu berjudul I Want You To Love Me.
Terdahulu, pelakon Ashraf Muslim dan Puteri Aishah juga pernah dijangkiti Covid-19 pada April lalu selepas pulang menjalani penggambaran drama bersiri Demi di Inverness, Scotland – K! ONLINE