Dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) baru-baru ini oleh Kementerian Ekonomi, antara usaha untuk menyediakan pelajar untuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) adalah dengan memasukkan bidang teknologi digital dalam kurikulum Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi meningkatkan serta menambah baik kemasukan pelajar dalam bidang tersebut.
Namun, apa yang dikhuatiri, pendidikan STEM kini bukanlah pilihan pelajar dan perkara ini sangat membimbangkan. Isu ini harus diberi perhatian kerana pendidikan itu adalah satu penerokaan secara kendiri.
Pendidikan STEM adalah penting dalam persediaan pelajar menghadapi 4IR yang merupakan cabaran baharu dan menguasai pelbagai sektor pekerjaan terkini.
Satu ketika dahulu, pendidikan STEM telah menjadi fenomena apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) memperkenalkan Program Angkasawan Negara Malaysia pada tahun 2006 yang telah melahirkan ikon Angkasawan Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Namun, kini boleh dikatakan keterujaan terhadap STEM kian pudar.
Seperti mana yang dikatakan Dekan Fakuti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd. Aziz, segalanya bermula pada peringkat awal pembelajaran seorang pelajar.
“Jika di peringkat pendidikan awal pendidikan STEM telah dimomokkan susah, perkara ini akan berterusan serta akan memberi kesan kepada pelajar berkenaan dan ini tidak dapat memupuk minat pelajar menerokai bidang tersebut,” katanya.
Beliau berpandangan, pencarian maklumat STEM secara kendiri oleh pelajar antara salah satu cara untuk meningkatkan pengetahuan serta minat pelajar dalam STEM.
“Apabila penerokaan kendiri dilakukan secara santai juga, pelajar itu dengan sendirinya akan mempunyai minat dan tidak akan ada tekanan.
Ini akan memupuk minat mereka dalam bidang STEM,” katanya.
Beliau juga percaya apabila pendidikan STEM didedahkan dengan fun learning ia mampu ‘mencuri’ perhatian pelajar sekolah. Di samping itu, ia dapat menjana minat pelajar dalam bidang STEM.
Selain itu, kata Nor Azwady, perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh iaitu dari segi perkembangan subjek STEM itu sendiri dan pendekatan diaplikasikan oleh tenaga pengajar dalam memupuk minat di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Contohnya di Finland, dalam sistem pendidikannya telah berjaya menghasilkan pelajar yang berkembang dalam sistem STEM kerana sistem pendidikannya yang tidak mengejar kejayaan akademik. Untuk tahun pertama pendidikan pelajar di sana, mereka perlu mengenal pasti kecenderungan minat sendiri sekali gus tercetus minat terhadap STEM.
“Untuk memupuk minat STEM kepada pelajar di Malaysia bukan sahaja melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, malah perlukan kerjasama secara menyeluruh.
“Perkembangan yang positif akan membuatkan STEM mendapat perhatian pelajar semula dengan sistem terkini yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan mengaplikasikan penilaian secara menyeluruh bagi menggalakkan pelajar belajar kerana ilmu dan tidak berorientasikan kepada peperiksaan,” katanya.
Nor Azwady yang juga seorang pakar biologi akui, generasi masa kini menganggap bidang STEM tiada karier dan tidak glamor di pasaran kerja sekali gus mengundang tanggapan di minda mereka bahawa berkecimpung dalam bidang STEM tidak menjana pendapatan.
“Sebenarnya STEM mempunyai pelbagai karier. Disebabkan ia kurang mendapat perhatian jadi masyarakat menganggap ia ‘tiada karier’ contohnya dalam menyediakan perisian atau aplikasi, kemahiran STEM dieprlukan sebenarnya,” katanya.
Pendidikan STEM turut perlu dijalankan secara hands on supaya pelajar bukan sahaja belajar secara teori, malah secara praktikal untuk mereka merasai dan melihat sendiri bagaimana pendidikan STEM dijalankan.
“Saya ambil pengalaman saya sendiri iaitu melalui satu program komuniti yang saya ikuti dan saya berkongsi mengenai kajian saya berkenaan cacing tanah. Pada awalnya, mereka berasa geli untuk mengendalikan.
“Tetapi apa yang saya lakukan adalah saya fokuskan mengenai peranan serta faedahnya dalam kompos dan dari situ mereka kemudiannya rasa teruja memegang cacing tanah tersebut.
“Ini juga adalah satu kaedah untuk menimbulkan rasa minat dan menerokai sendiri dengan melihat di sudut yang positif dan secara langsung membina keyakinan untuk mereka meneruskan pengajian dalam bidang STEM,” katanya.