LONDON – Bekas pelumba MotoGP, Casey Stoner berharap Respol Honda melupakan hasrat mereka untuk memancing pelumba sedia ada dalam perlumbaan kelas perdana dan pasukan Jepun itu sepatutnya menyasarkan bakat muda dari kelas Moto2.
Stoner yang pernah menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Repsol Honda memberi nasihat agar Honda tidak tertumpu kepada pelumba berpengalaman untuk memulakan era pasca Marc Marquez semula.
Tegas juara dunia 2011 itu, Honda akan mendapat lebih banyak manfaat daripada seseorang yang muda yang dahagakan kemenangan berbanding terdesak menggunakan pelumba ‘veteran’.
Ia dapat dilihat persaraan Stoner sendiri pada penghujung musim 2012 apabila rookie muda, Marquez mengambil alih tempat pelumba Australia tersebut dan bergandingan bersama Dani Pedrosa walaupun pada perancangan awal Marquez akan bergandingan bersama Stoner.
“Saya mungkin akan mencuba dan membawa bakat dari pelumba Moto2. Semua orang suka bercakap tentang kematangan atau pengalaman tetapi, separuh itu datang dari ideologi mereka sendiri tentang apa yang mereka mahu.
“Apabila anda mempunyai seseorang pelumba yang muda dan dahagakan sesuatu. Saya fikir itulah pilihan yang perlu mereka lakukan. Anda tidak memerlukan ketua pasukan jika ia bukan ketua yang betul.
“Mudah untuk mengatakan kami memerlukan pelumba berpengalaman untuk mengetuai pembangunan, tetapi apabila anda tidak mempunyai pelumba yang sanggup melakukan segala-galanya untuk meletakkan pasukan ke arah yang betul, ia menjadi sia-sia.
“Anda boleh mengubah segala-galanya, terdapat begitu banyak aspek yang perlu mereka terokai jika mereka mendapat seseorang pelumba yang sanggup keluar dari zon selesa mereka,” kata Stoner.
Stoner mengakui dia terkejut bahawa juara MotoGP enam kali, Marquez meninggalkan Honda dan menyertai Gresini Ducati musim depan. – AGENSI