KUALA LUMPUR – Kesemua nombor yang tidak aktif akan masuk tempoh kuarantin atau ‘cooling off period’ selama enam bulan sebelum digunakan semula oleh pengguna baharu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mengurangkan masalah atau risiko pengguna nombor telefon sekarang menggunakan nombor yang pernah digunakan oleh pengguna lain sebelum ini.
Ujarnya, sejak 2021, hanya 80 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan isu penggunaan nombor telefon kitar semula.
” Ia bersamaan dengan 0.0016 peratus daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan mudah alih di negara ini yang mencecah 49.4 juta pengguna setakat suku kedua tahun ini.
“Penggunaan nombor kitar semula ini adalah satu dasar sedia ada di bawah Rancangan Pengurusan Penomboran dan Pengalamatan Elektronik (NEAP) 2023 bagi memastikan setiap nombor diuntukkan diguna pakai dengan berhemat, cermat dan mengelakkan pembaziran.
“Biarpun jumlah aduan ini kecil, namun kementerian melalui MCMC dari semasa ke semasa menambah baik prosedur sedia ada bagi memastikan keselesaan pengguna perkhidmatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan kemungkinan menetapkan dasar membatalkan terus nombor kitar semula demi menjamin keselamatan pengguna.
Tambahnya, amalan mengguna semua nombor telefon lama dan tempoh kuarantin ini juga digunakan di negara lain seperti di Amerika Syarikat (45 hari), Australia (enam bulan) dan Singapura (90 hari).
“Walaupun langkah mengurangkan masalah dan risiko sudah dilakukan, MCMC tidak dapat menegah bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi pelanggannya untuk tempoh yang lama.
“Oleh itu, dalam menangani perkara ini, pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat dalam telefon mudah alih,” katanya.
Fahmi berkata, jika terdapat panggilan yang mengancam keselamatan pengguna baharu atau berdepan jenayah penipuan, pengguna disaran melakukan laporan polis dan melaporkannya ke talian bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), 997.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk melanjutkan operasi NSRC kepada 24 jam bagi memudahkan pelaporan mangsa, Fahmi berkata, kementerian akan meneliti segala cara bagi menambah baik akses orang awam untuk menyalurkan aduan berhubung masalah dihadapi mereka.
“Ketika ini NSRC masih beroperasi seawal 8 pagi hingga 8 malam, namun 13 Oktober lalu sudah terima suntikan tambahan dana, jadi kita akan usaha tambah baik perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE