PASIR MAS – Seorang lelaki bergelar Datuk dan berstatus doktor ditahan selepas dipercayai menembak burung jenis wak-wak atau ruak-ruak dengan menggunakan senapang seludup di kawasan sawah di Kampung Tasek Berangan, Repek di sini semalam.
Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang juga merupakan seorang pensyarah kanan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kelantan itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di kawasan itu kira-kira pukul 3 petang.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Suprintendan Muhammad Shamsuddin berkata, sewaktu menjalankan rutin rondaan, anggota PGA telah melihat seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah kawasan sawah padi.
“Pemeriksaan mendapati, suspek menggunakan senapang jenis pump gun Escort yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Pemeriksaan pada bahagian senapang tersebut turut menjumpai dua butir peluru hidup. Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek membawa kepada penemuan sembilan butir peluru hidup jenis SG Bore, lima butir peluru palet dan 158 butir peluru ball bearing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Muhammad Shamsuddin, keseluruhan rampasan senjata api dan peluru itu dianggarkan bernilai lebih RM23,000 dan didapati suspek juga memiliki senapang itu tanpa lesen dan permit yang sah.
“Lelaki itu dipercayai membeli senapang itu dengan harga RM8,000 daripada seorang rakannya dari negara jiran.
“Selain itu, kita turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek sewaktu kejadian,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tiga hari bermulai hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960(Akta 206), Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat – Fipa) 1971 ( Akta 37) dan Seksyen7 (1) (a)Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). – K! ONLINE