fbpx

Malaysia jangan tunduk kepada Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perang antara Israel dengan Hamas di Gaza, Palestin bermula sejak 7 Oktober lalu. Ia bermula selepas ribuan roket Hamas dilancarkan ke arah Israel.

Dalam ucapan pada hari pertama Operasi Taufan Al-Aqsa dilancarkan, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh berkata, tujuan serangan itu adalah untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, tanah dan penduduk Palestin daripada dijajah rejim Zionis serta tahanannya di penjara-penjara Israel.

Jelas Haniyeh, sera­ngan mengejut itu dilancar Briged Al-Qassam iaitu sayap tentera Hamas bersama pejuang Palestin dan anak-anak watannya.

Namun, Haniyeh berkata, Israel menutup ‘telinga dan mata’ dan semasa perayaan keagamaan Yahudi baru-baru ini, rejim Zionis menceroboh Masjid Al-Aqsa.
Rejim Zionis seperti selalunya melakukan serangan udara kejam dan angka korban orang Pa­lestin melepasi 4,000 orang termasuk kanak-kanak dan bayi. Lebih 1,200 orang pula mati di pihak Israel.

Pakar Geostrategis, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, soko­ngan Malaysia kepada Palestin tidak pernah berbelah bahagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung terus dengan Ismail melalui te­lefon baru-baru ini.

“Langkah itu menunjukkan Malaysia mempunyai pendirian tentang hal ini. (Malaysia) tidak bergantung kepada pendirian negara-negara Arab terutama sekali Amerika Syarikat (AS) walaupun tidak disenangi AS.

“Jadi, saya tidak nampak apa yang dibuat pemimpin Malaysia akan mendapat ugutan kerana AS tahu dia berada dalam keada­an salah dan serba salah kerana rakyatnya sendiri tidak sokong dasar dan pendirian mereka.

“Jadi kita seharusnya berbangga dan menyokong tindakan terutama sekali Perdana Menteri (Anwar),” katanya ketika dihubungi Kos­mo!.
Azmi juga berpendapat, beliau tidak bimbang dengan ugutan dan tindak balas AS ke­rana menu­rut beliau Malaysia bersama-sama dengan dunia lain dalam isu Palestin.

“Kita bersama-sama bersimpati dengan perjuangan Palestin cuma bezanya Malaysia secara terang menyatakan ini seperti yang saya katakan tindakan berhubung terus dengan Ismail. Malah, AS dianggap berseora­ngan dalam isu serangan Palestin.

“Ketika pembentangan resolusi tentang saluran bantuan kepada penduduk Gaza pada Maj­lis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) hanya AS yang menentang resolusi ini.

“Sekutu kuatnya United Kingdom (UK) berkecuali sementara 12 negara lain menyokong supaya koridor bantuan kemanusiaan itu dibuka,” katanya.

Mengulas isu sama, Mufti Perlis, Datuk Profesor Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, pendirian Malaysia amat terpuji dalam kejadian yang menimpa Palestin.

“Bahkan di Malaysia, rakyat dan kerajaan amat cakna dan prihatin dengan isu ini (Palestin). Bukan sekadar ucapan mulut, orang Malaysia juga turut me­nyumbang dana kepada Palestin,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Perlis ada menyatakan bahawa perjuangan rakyat Palestin menentang Zionis Yahudi yang menceroboh dan memerangi umat Islam adalah satu jihad.

“Mereka berhak menerima kelebihan yang layak diterima para mujahidin seperti zakat, bantuan umat Islam, doa dan jenazah mereka diuruskan sebagai syuhada.

“Menjadi kewajipan umat Islam membantu mereka dengan sedaya upaya yang mampu sebagai tanggungjawab sesama Muslim,” kata mufti itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI