AKTIVITI larian amal bukan saja dapat menggalakkan amalan hidup sihat, tetapi turut mendorong masyarakat untuk cakna persekitaran dan gemar berbuat kebaikan.
Selepas tiga tahun ‘menyepi’ dan dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19, acara larian amal anjuran Bursa Malaysia Berhad kembali diadakan baru-baru ini buat kali ke-7.
Larian Bursa Bull Charge itu diadakan pada 8 Oktober lalu bertempat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Bursa Bull Charge 2023 telah mendapat sokongan daripada lebih 100 organisasi antaranya Bank Rakyat, stesen radio BFM, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan IJM Corporation Berhad.
Ia juga telah disertai seramai 1,000 orang pelari yang dibahagikan dua kategori iaitu Larian CEO 1.5 kilometer dan Larian 5 kilometer.
Selain itu, seramai 20 pelajar dari Kelab Investor Bursa Muda (BYIC) turut serta dalam acara larian tersebut.
Tambah gemilang apabila acara itu dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift melahirkan rasa bangga kerana dapat menganjurkan larian amal tersebut.
“Kami berbesar hati untuk kembali menganjurkan Bursa Bull Charge pada tahun ini.
“Kehadiran kolektif kami di sini adalah bagi mewakili pelbagai organisasi dalam mengukuhkan mesej penting iaitu institusi korporat Malaysia bukan semata-mata untuk keuntungan, tetapi mengenai bagaimana kami mampu memberi kesan positif kepada masyarakat dan persekitaran.
“Dengan menjadi sebahagian daripada acara ini, kami memimpin melalui teladan dengan menunjukkan bahawa perniagaan boleh menjadi kuasa untuk kebaikan dan tindakan kami hari ini buktikan komitmen ini,” katanya.
Tambah Muhamad Umar, Bursa Malaysia amat komited untuk memacu tindakan iklim, sejajar aspirasi syarikat itu untuk menjadi pasaran terkemuka dan mampan di rantau ASEAN.
“Dedikasi kami untuk mempromosi amalan kemampanan yang kukuh dalam perniagaan terbukti dalam pelbagai inisiatif utama.
“Ini termasuk pelaksanaan pelbagai program transformasi dan kelestarian yang berterusan,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 2014, Bursa Bull Charge telah mendapat penyertaan lebih 11,300 pelari dan mengumpul dana lebih RM13.3 juta, melibatkan 172 komuniti penerima seperti Orang Asli, ibu tunggal, kanak-kanak dan juga golongan kurang upaya.
Bursa Bull Charge 2023 pula berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.5 juta yang akan disalurkan kepada lapan komuniti penerima termasuk Pertubuhan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Komuniti Daerah Gombak, Selangor; Global Peace Festival Malaysia dan Persatuan Kepimpinan, Pemerkasaan dan Pembangunan Wanita Sabah.
Selain itu, bagi usaha meningkatkan kesedaran dan mengurangkan jejak karbon, larian amal itu turut menyediakan beberapa inisiatif kitar semula termasuk gerai kitar semula e-waste oleh CelcomDigi dan Mesin Layan Diri
Terbalik oleh syarikat KLEAN bagi peserta yang mahu mengitar semula botol-botol dan tin aluminium.
“Kami berharap lebih ramai peserta dan organisasi akan menyertai Bursa Bull Charge tahun hadapan,” katanya