fbpx

Hidupkan Sleeq? Mungkin tidak – Alyph

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerap ditanya mengenai kemunculan semula kumpulan duo Sleeq, penyanyi rap Alyph mengakui perkara tersebut belum pernah difikirkan lagi sehingga ke hari ini.

Kata komposer asal Singapura itu, selepas lapan tahun berpecah, dia menghormati keputusan sepupunya, Syarif yang mahu memberi perhatian terhadap perniagaan keluarga.

“Memang ramai bertanya sama ada saya ada perancangan menghidupkan Sleeq tetapi bagi saya kalau rindu mereka boleh saja dengar lagu kami di Spotify.

“Kami mempunyai tanggungjawab masing-masing, bukan tak mahu bergabung lagi cuma cukuplah sehingga 2015 kerana Syarif pun sibuk menguruskan perniagaan.

“Sesekali kami tetap berjumpa kerana ikatan saudara takkan terputus, hanya untuk bergabung dalam sebuah kumpulan lagi mungkin tidak,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Menurut pemilik nama sebenar Alif Abdullah itu lapan tahun bergerak solo membuatkan dirinya semakin selesa melayari kerjaya nyanyian.

Ulasnya, bukan mudah mengikis nama Sleeq selepas berpecah pada tahun 2015 selepas sedekad beraksi bersama Syarif sebagai duo.

“Saya selesa bergerak solo biarpun pada mulanya, takut dan rasa hendak menangis setiap kali beraksi di khalayak ramai.

“Sebelum ini, orang tak kenal siapa saya. Nampak saya, mereka panggil Sleeq dan sebab itulah pada mulanya, saya tidak yakin bergerak solo.

“Bertahun-tahun membina nama sebagai penyanyi solo, tidak mungkin saya kembali dalam sebuah kumpulan atau dia,” ujar Alyph, 34.

Sebelum bergerak solo, Alyph pernah mencetus fenomena bersama Sleeq menerusi untaian single antaranya, Sesaat Kau Datang (duet bersama Ramlah Ram) dan Untuk Dia (Najwa Latif).

Terbaharu, Alyph melancarkan single baharu berjudul Heat, rentetan kejayaan lagu Swipe yang juga dendangan pembakar semangat sebelum melakukan sesuatu dalam hidup termasuk pekerjaan dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI