fbpx

Nur Syaiful harumkan nama Malaysia di Hangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR SYAIFUL muncul atlet para sumbang pingat emas pertama buat Malaysia dalam acara 100m kuak dada kategori SB4 pada Sukan Para Asia Hangzhou di China semalam.

PERENANG para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou di China menerusi acara 100 meter (m) kuak dada kategori SB4 semalam.

Lebih manis, Nur Syaiful turut mencipta rekod baharu temasya dengan masa satu minit 46.78 saat (s), memadam catatan lama 1:50.91s milik perenang para Vietnam, Nguyen Tranh Trung pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Pingat perak pada final di Pusat Akuatik Olimpik Hangzhou itu dimenangi Yin Wenhong de­ngan catatan 1:53.29s, manakala gangsa menjadi milik seorang lagi perenang negara, Zy Lee Kher menerusi masa 2:11.80s.

Bagi Nur Syaiful, perenang berusia 28 tahun dari Sarawak itu menganggap kejayaan tersebut mengubati kekecewaan selepas penyertaannya dibatalkan sewaktu edisi Para Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia kerana masalah teknikal.

“Jurulatih pun tidak sasarkan apa-apa sebab acara ini memang susah kalau dalam kategori saya. Saya cuma ingat dia pesan jangan kelam-kabut dan tenang sahaja untuk 50m pertama.

“Kemudian barulah saya all out di 50m terakhir. Untuk hari pertama ini, saya tidak jangka dapat emas, apatah lagi dapat perbaharui rekod temasya. Namun, banyak lagi teknik saya perlu perbaiki,” katanya.

Turut mencipta kejayaan buat kontinjen negara semalam adalah atlet olahraga para, Noor Imanina Idris selepas memenangi pingat gangsa menerusi acara lontar peluru wanita F20 menerusi catatan 11.08m.

Emas acara itu dimenangi atlet Jepun, Reina Hori yang mencipta rekod baharu Asia dan temasya menerusi catatan 11.93m, menakala perak menjadi milik Suparni Yati dari Indonesia selepas membuat balingan sejauh 11.12m.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI