PORTLAND, OREGON – Dua pesawat komersial hampir berlanggar ketika terbang pada jarak kurang 804 meter antara satu sama lain di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Portland, Oregon, lapor akhbar New York Post semalam.
Insiden berlaku apabila penerbangan Alaska Airlines 1299 yang berlepas dari California Selatan cuba mendarat di landasan bersebelahan ketika pesawat SkyWest Airlines 3978 baru saja berlepas.
Kejadian berlaku pada Isnin lalu sekitar pukul 4.15 petang (waktu tempatan).
Pesawat Alaska Airlines terpaksa dilencongkan dan membatalkan pendaratannya selepas menerima arahan daripada pengawal trafik udara.
Kedua-dua pesawat itu mempunyai jarak kira-kira 548 meter secara melintang serta 76.2 meter secara menegak.
Perlanggaran di udara boleh berlaku apabila pesawat berada kurang 152.4 meter antara satu sama lain, demikian menurut pihak berkuasa aviasi yang menyiasat insiden tersebut. – AGENSI