JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Surabaya, wilayah Jawa Timur terpaksa bernikah di balai polis selepas si lelaki ditangkap mencuri sebuah motosikal, tiga hari menjelang tarikh perkahwinan mereka, lapor laman berita Bongkah semalam.
Tomi Fira, 25, mengahwini pasangannya di balai polis Sukolilo kelmarin selepas diberkas kerana mencuri motosikal Honda Scoopy pada Rabu minggu lalu.
Ketua Polis Sukolilo, Komisioner Polis Made Parera Negara berkata, suspek cuba mencuri kenderaan tersebut ketika waktu awal pagi sebelum disedari mangsa.
“Penghuni rumah terjaga daripada tidur lalu keluar dari rumah untuk menangkap suspek yang belum sempat melarikan motosikal mangsa,” katanya.
Suspek kemudian dibelasah penduduk sehingga mukanya bengkak, manakala seorang rakan subahatnya sempat melarikan diri.
“Ketika ditangkap, keluarganya datang dan meminta agar majlis pernikahan suspek dan pasangannya boleh berlangsung di balai polis mengikut perancangan asal,” kata Made.
Selepas mendapat persetujuan semua pihak, pasangan itu dinikahkan kelmarin di balai polis dengan kedua-duanya memakai pakaian pengantin berwana kelabu.
Sejurus selesai dinikahkan, suspek mengakui perbuatannya itu dan menyatakan penyesalan kerana membuatkan isteri dan keluarga sendiri serta keluarga mentua malu besar.
“Maaf, saya berasa malu sekali,” ujarnya.
Suspek turut mendedahkan bahawa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli cincin pernikahan kepada isterinya.
“Saya mencuri motosikal untuk membeli cincin sebagai mas kahwin. Nampaknya hajat itu tidak kesampaian,” katanya. – AGENSI