SELEPAS lebih satu dekad tidak dianjurkan, Pestabola Merdeka 2023 yang berakhir pada 17 Oktober lalu membawa 1001 cerita tersendiri dengan skuad Harimau Malaya muncul naib juara.
Jika dibandingkan dengan kejohanan jemputan lain seperti Piala Raja Thailand yang menggunakan konsep hampir sama, Pestabola Merdeka dilihat masih memiliki prestij yang tersendiri.
Pestabola Merdeka yang dianjurkan sebanyak 41 kali sejak 1957 dan Malaysia muncul juara sebanyak 10 kali. Bagaimanapun, tuah tidak memihak Malaysia apabila tewas 0-2 di pentas final kepada jaguh Asia
Tengah, Tajikistan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu.
Harus diakui, penganjuran kali ini tidak sempurna kerana banyak isu berlaku di luar kawalan sehingga menjejaskan fokus kepada perlawanan.
Yang paling hangat sudah tentulah padang Zeon Zoysia SNBJ yang mudah terkoyak terutama pada perlawanan pertama melibatkan Malaysia lawan India.
Kontroversi itu jelas memberi cabaran hebat buat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bagaimanapun, kita tidak perlu hirau mengenai perkara negatif kerana apa yang lebih baik adalah mencari jalan untuk memastikan penganjuran pada masa akan datang bakal lebih meriah setanding era 70-an atau 80-an.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kejohanan ini digelar Grand Old Lady of Asia dengan banyak negara menantikan jemputan untuk bersaing merebut trofi yang memberi nilai sentimental itu.
Paling diingati sudah tentulah beberapa perlawanan epik yang dilangsungkan di venue keramat, Stadium Merdeka dengan penyertaan negara-negara serantau benua Asia seperti Korea Selatan, India dan Jepun.
Langkah pertama FAM selepas ini sudah tentulah untuk memastikan Pestabola Merdeka dapat dianjurkan secara tahunan selepas mendapat sokongan padu pada penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, penganjuran Pestabola Merdeka 2023 boleh dianggap sebagai sukses terutama selepas saingan tersebut disisihkan hampir 10 tahun.
“Saya harap penganjuran Pestabola Merdeka dapat diadakan secara tahunan selepas ini. Kita harus ingat sentimen kejohanan ini cukup dekat dengan penyokong bola sepak tanah air.
“Selepas satu dekad tidak dianjurkan, kehadiran serta sambutan diberikan penonton cukup menggalakkan. Malah, respons yang kami terima juga mahu memastikan saingan ini dikekalkan pada masa depan.
“Cuma, saya akui penganjuran kali ini tidak begitu sempurna susulan masalah padang yang menjadi gangguan. Namun, kami anggap ia sebagai cabaran kerana bukan mudah untuk menghidupkan saingan selepas 10 tahun.
“Kita ambil situasi tersebut sebagai pengajaran dan pengalaman untuk memastikan penganjuran lebih baik pada edisi akan datang,” kata beliau.
Lebih menarik, Mohd. Firdaus juga tidak memberi bayangan pasukan lebih hebat Asia seperti Jepun atau Korea Selatan mungkin akan dijemput semula andai mendapat lampu hijau badan induk itu nanti.
“Sudah tentu kita mahukan pasukan yang terbaik seperti Jepun dan Korea Selatan untuk bersaing pada kejohanan ini. Namun, perancangan teliti harus bermula daripada sekarang,” kata beliau.