TEL AVIV – Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menyatakan kelmarin bahawa perang menentang kumpulan Hamas mungkin mengambil masa ‘berbulan-bulan’ tetapi ia akan menjadi perang terakhir menentang kumpulan tersebut.
Gallant meningkatkan retorik ketika berucap kepada pasukan tentera Rejim Zionis yang berkumpul untuk melancarkan serangan darat ke atas Gaza sebagai membalas serangan mengejut Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
“Perang ini akan mengambil masa sebulan, dua bulan atau tiga bulan, namun pada akhirnya, tidak akan ada lagi Hamas,” kata Gallant di sebuah pangkalan tentera yang lokasinya tidak didedahkan oleh Kementerian Pertahanan Israel.
“Sebelum Hamas bertemu kereta kebal kami (Israel) dan infantri kami, mereka akan mengetahui bom tentera udara kami.”
“Ia sepatutnya menjadi perang terakhir di Gaza dan sebabnya mudah, kerana tidak akan ada lagi Hamas selepas ini,” kata Gallant.
Israel yang berulang kali berikrar untuk menghapuskan Hamas berkata, serangan udaranya menyasarkan komander dan infrastruktur kumpulan tersebut.
Sementara itu, Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza memberitahu kelmarin bahawa lebih 4,600 orang terbunuh dalam serangan Rejim Zionis setakat ini, termasuk 1,873 kanak-kanak.
Serangan Hamas merentasi sempadan pada 7 Oktober lalu adalah yang paling dahsyat ke atas Israel sejak penubuhannya, menyebabkan kira-kira 1,400 orang terbunuh.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Iran atau sekutu-sekutunya supaya tidak meluaskan lagi perang Israel dengan Hamas, beberapa jam selepas Pentagon meningkatkan persediaan ketenteraan di rantau Asia Barat.
Setiausaha Negara, Antony Blinken berkata, AS yang menghantar dua armada kapal induk ke timur rantau Mediterranean telah ‘mengambil semua langkah supaya dapat melindungi tentera dan rakyatnya’.
Beliau mengeluarkan kenyataan lebih keras selepas Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin memberi amaran mengenai risiko peningkatan serangan terhadap tentera AS di rantau Asia Barat.
Kenyataan mereka dibuat berikutan kebimbangan semakin meningkat bahawa pejuang Hizbollah di selatan Lebanon atau kumpulan pejuang lain yang disokong Teheran akan menggunakan situasi di Gaza untuk meluaskan lagi konflik Israel-Gaza.
“Sekiranya mana-mana kumpulan atau negara mahu meluaskan lagi konflik ini dan menangguk di air keruh, nasihat kami (AS) adalah: Jangan,” tegas Austin. – Agensi