KUALA LUMPUR – Pasukan Malbatt 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan disahkan berada dalam keadaan selamat walaupun diancam situasi tegang di sempadan negara itu susulan konflik Palestin-Israel ketika ini.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, penugasan semasa pasukan Malbatt 850-10 berjalan seperti biasa.
Katanya, tiada keperluan untuk membawa pulang pasukan tersebut ke tanah air dalam masa terdekat, namun segala pergerakan susulan adalah mengikut arahan daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Alhamdulillah, walaupun keadaan agak tegang di sana (Lubnan) mereka berada dalam keadaan baik dan sihat. Sama-sama kita doakan pasukan Malbatt 850-10 berada di bawah lindungan Allah.
“Segala arahan penugasan adalah tertakluk kepada arahan daripada UNIFIL. Mereka yang akan keluarkan (arahan) sama ada kita (Malbatt 850-10) tetap berada di situ atau kita berundur dan sebagainya.
“Tetapi, setakat ini kita akan tetap berada di sana sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai status keselamatan pasukan Malbatt 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.
Terdahulu, Mohammad hadir menyampaikan Perintah Ulung Panglima ATM ke-22 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu, memaklumkan kerajaan telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut mengambil langkah berjaga-jaga serta memantau keadaan rakyat Malaysia di Lubnan termasuk pasukan pengaman Malbatt yang berkhidmat di bawah UNIFIL berikutan konflik Palestin-Israel.
Tindakan itu dibuat ekoran situasi konflik yang berterusan di mana kawasan di Selatan Lubnan turut menjadi serangan pihak Israel. – KOSMO! ONLINE