PETALING JAYA – Seorang wartawan warga Palestin memaklumkan, keadaan bumi Gaza kini semakin getir.
Menerusi ciapan di platform X, wartawan bernama Muhammad Smiry itu turut berkongsi video terkini keadaan di Gaza yang dibom tanpa henti.
“Kami sedang dibunuh beramai-ramai. Ia semakin teruk di Gaza,” katanya pada dua ciapan berbeza.
Berdasarkan video berdurasi 30 saat itu, jelas memaparkan bunyi dan cahaya letupan bom bertalu-talu di kawasan sekitarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pejuang Hamas dan askar Rejim Zionis bertempur di darat secara singkat di Semenanjung Gaza semalam, berdasarkan laporan saluran berita CNN.
Pertempuran tercetus ketika tentera Israel meningkatkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza menjelang fasa peperangan seterusnya.
Menurut Hamas, pejuang-pejuangnya memusnahkan dua jentolak dan sebuah kereta kebal Israel dalam serangan hendap dekat bandar Khan Yunis, sekali gus memaksa askar Zionis berundur tanpa kenderaan. – KOSMO! ONLINE