PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang menetap di Gaza, Nurul Ain Haron dan suaminya, Mohamed Adan Shaat meneruskan perjuangan mendapatkan bantuan dan barangan kepada penduduk di sana walaupun menaiki kuda.
Menerusi perkongsian di Facebook, Nurul Ain dan suaminya dilihat menunggang kuda bagi menjalankan tanggungjawab membeli bantuan.
“Hari ini tak dapat naik teksi untuk beli barang bantuan sebab kebanyakan teksi tak ada minyak untuk bergerak jadi terpaksalah naik kuda. Maaf kuda, saya berat.
“Alhamdulillah, terima kasih juga kepada abang ipar kerana menaja stiker untuk dilekatkan pada barang bantuan dari Malaysia,” kata Nurul Ain.
Nurul Ain antara rakyat Malaysia yang masih terancam dengan serangan tentera Israel.
Menjengah ke ruangan komen, netizen mendoakan agar perjalanannya dipermudahkan dan berdoa agar beliau dapat pulang ke Malaysia secepat mungkin.
“Nurul Ain semoga dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” tulis Muhammad Ammar.
“Tengok bungkusan pun rasa sebak. Hati-hati Puan, semoga dipermudahkan urusan oleh Allah,” komen Tia Sarani – KOSMO! ONLINE