SIK – Seramai 11 penduduk Kampung Lubuk Tualang dan Kampung Bendang Temiat, di sini yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat malam tadi berjaya dipindahkan anggota bomba ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Mangsa terdiri daripada tujuh individu dewasa, dua remaja serta masing-masing seorang kanak-kanak dan bayi berusia tiga bulan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhiari Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada pukul 6.44 petang semalam.
“Terdapat enam mangsa di Kampung Lubuk Tualang dan lima mangsa di Kampung Bendang Temiat,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, laluan untuk memasuki kawasan terjejas didapati terputus akibat dinaiki air.
“Anggota kemudian mengharungi banjir untuk mendapatkan mangsa dan kesemua mereka berjaya dipindahkan ke PPS yang dibuka di Kampung Tanjung Belit,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian banjir berlaku akibat limpahan air sungai disebabkan taburan hujan yang tinggi.
“Banjir bersifat sekali lalu dengan trend air dari atas iaitu Belantik turun ke Chepir dan Lubuk Tualang seterusnya Bandar Hilir. Paras air menurun dan semakin surut serta hujan telah berhenti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, seramai 72 mangsa banjir di daerah ini dipindahkan ke tiga PPS setakat pukul 8 pagi ini.
Katanya, seramai 62 mangsa ditempatkan di PPS Markas Pas Tanjung Belit manakala dua lagi PPS iaitu SK Chepir dan Surau Kampung Belimbing masing-masing menempatkan seramai lima mangsa. – KOSMO! ONLINE