BANDAR GAZA – Pejuang Hamas dan askar Rejim Zionis bertempur di darat secara singkat di Semenanjung Gaza semalam, lapor saluran berita CNN.
Pertempuran tercetus ketika tentera Israel meningkatkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza menjelang fasa peperangan seterusnya.
Menurut Hamas, pejuang-pejuangnya memusnahkan dua jentolak dan sebuah kereta kebal Israel dalam serangan hendap dekat bandar Khan Yunis sekali gus memaksa askar Zionis berundur tanpa kenderaan.
Rejim Zionis mengesahkan mengadakan operasi di Gaza semasa kejadian dan berkata, sebuah kereta kebalnya menyerang anggota Hamas yang melepaskan tembakan ke arah askar-askar Israel.
Episod itu merupakan pertempuran pertama antara kedua-dua belah pihak di Semenanjung Gaza sejak perang meletus selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.
Pertempuran berlaku ketika tentera Israel bersiap sedia untuk melancarkan operasi darat di Gaza.
Israel tidak mendedahkan tarikh tertentu untuk melancarkan serangan darat besar-besaran ke atas Gaza, namun pegawai tenteranya berulang kali berkata bahawa pencerobohan akan berlaku. – AGENSI