SHAH ALAM – Hasrat penyanyi Ayai Illusi untuk mara meneruskan saingan dalam All Stars Gegar Vaganza atau GV10 tidak kesampaian apabila diumumkan menjadi bintang keempat tersingkir pada konsert minggu kelima program berkenaan di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya, Shah Alam (MBSA), di sini.
Tampil menyanyikan lagu Pusara Di Lebuhraya, persembahan Ayai tidak mampu meyakinkan juri sekali gus menduduki tangga terbawah dengan markah 53.00 peratus dan tersingkir.
“Terima kasih juri, peminat, keluarga, dan semua orang, saya doakan yang terbaik untuk semua peserta, teruskan berjuang,” ujar Ayai.
Konsert minggu kelima GV10 menyaksikan Liza Hanim menduduki tempat pertama yang berjaya meraih markah sebanyak 70.50 peratus markah sekaligus menjadi pemenang Bintang Powercat.
Tempat kedua pula menjadi milik Naqiu dengan markah 69.75 diikut rapat oleh Jaclyn Victor yang berada di tempat ketiga mengaut sebanyak 69.00 peratus markah.
Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz.
Konsert GV10 diacarakan pengacara sensasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Minggu lalu menyaksikan penyanyi Datuk Aishah menjadi peserta yang tersingkir dalam GV10 ketika konsert minggu keempat.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE