fbpx

Yang Rasyidah ‘dirisik’ beberapa parti politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANG RASYIDAH pernah mendapat anugerah Ikon Kepimpinan daripada pihak UKM.

PENGLIBATAN generasi muda dalam dunia politik merupakan sesuatu yang penting.

Ini kerana, mereka adalah bakal pemimpin yang bertanggungjawab untuk membawa negara menuju kejayaan pada masa hadapan.

Oleh itu, generasi muda harus ditanam minat untuk terlibat sama dalam arena politik dan penglibatan mereka harus diraikan.

Yang Rasyidah Hanis Lokman, 22, antara anak muda yang amat meminati dunia politik.

Menurutnya, dia suka mengkaji dan mengambil tahu tentang dasar negara dan itu menjadi asbab gadis tersebut ingin menyertai politik.

“Saya rasa, politik ini adalah satu bidang yang membolehkan kita melakukan perubahan untuk negara.

“Ini kerana, orang politik akan terlibat dalam pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Tambahnya, dia juga mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap politik dan atas sebab itu Yang Rasyidah ingin berada di posisi tersebut.

Namun begitu, dia masih belum menyertai mana-mana parti politik ketika ini kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajiannya terlebih dahulu.

Yang Rasyidah merupakan pelajar dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah tamat pengajian kelak, dia ingin terlibat secara serius dalam bidang politik.

Yang Rasyidah (kiri) aktif dalam program berkaitan politik di kampus UKM.

Malah, ada beberapa parti politik telah merisiknya untuk menyertai mereka.

Bagaimanapun, dia masih berfikir dan ingin menilai terlebih dahulu sebelum memilih terlibat secara aktif.

Yang Rasyidah menjelaskan, buat masa ini, dia terlibat secara aktif dalam politik kampus bagi meraih pengalaman.

Menurutnya, dia kini menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa UKM selepas menang dalam pilihan raya kampus.

“Kali pertama terlibat dalam pilihan raya kampus, saya berhadapan dengan kekalahan.

“Semangat saya sedikit luntur ketika itu, tetapi kekalahan tersebut juga menjadi titik mula kepada saya untuk terus melakukan yang terbaik.

“Dalam pilihan raya kampus, saya merasai pengalaman berkempen, melakukan rapat umum dan lain-lain lagi bagi meraih undi.

“Saya menang apabila menyertainya pada kali kedua,” jelasnya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Tambahnya, dia juga belajar banyak perkara tentang politik dan meraih banyak pengalaman berharga.

Mengulas tentang pengajiannya, Yang Rasyidah menjelaskan, pemilihan bidang ekonomi lebih kepada pilihan keluarganya.

Sebelum ini, dia merupakan pelajar asasi undang-undang.

“Namun, keluarga menyarankan saya untuk menukar bidang dan meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi.

“Memandangkan saya juga suka kepada dasar dan polisi negara, saya memilih bidang ini,” terangnya.

Tambahnya, dia juga mempunyai hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang itu sehingga ke peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, Yang Rasyidah sempat mengikuti program mobiliti selama setahun di Universiti Kebangsaan Jeonbuk, Korea Selatan.

Ketika di sana, dia berpeluang mempelajari budaya dan bahasa negara berkenaan.

“Di sana, saya dapati proses pembelajaran mahasiswa lebih kepada komunikasi dua hala antara pelajar dengan pensyarah.

“Ketika di dalam kelas, pensyarah kurang berkomunikasi secara satu hala dan lebih kepada melakukan aktiviti bersama pelajar,” jelasnya.

Selain itu, antara perkara positif yang dia dapat ketika di sana adalah tentang budaya membuang sampah.

Yang Rasyidah berkata, di sana amat kurang tong sampah, tetapi sampah tidak dibuang merata-rata.

“Budaya masyarakat negara itu, mereka menyimpan sampah dan akan membuangnya di tempat sepatutnya.

“Ketika awal-awal di sana, saya agak terkejut kerana kita di Malaysia kurang mengamalkan amalan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI