MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui anak buahnya terpaksa berdepan tentangan sengit dan mencabar sebelum memastikan kemenangan 2-1 ke atas Brighton di Etihad kelmarin.
Malah, Guardiola juga berterusan memuji rakan sejawatnya, Roberto De Zerbi yang dianggap sebagai pengurus yang berkualiti hingga mampu menjadikan Brighton sebagai lawan sukar untuk ditewaskan.
Bagaimanapun, Guardiola jelas lega kerana keputusan itu menamatkan rekod buruk City yang alami kekalahan dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, tunduk 1-2 kepada Wolverhampton dan kalah 0-1 kepada Arsenal.
“Mereka (Brighton) benar-benar bagus, memiliki kualiti, namun saya tidak jangka kami bermain baik di babak pertama dan jaringkan dua gol. Saya hanya boleh katakan Brighton mampu menghadirkan kesukaran kepada semua pasukan.
“Mana-mana pasukan tidak mampu kawal Brighton sepanjang 90 minit terutamanya apabila kemasukan Ansu Fati dan kualiti yang ada pada Kauro Mitoma. Jelas sekali kami berdepan derita sebelum berjaya raih kemenangan,” katanya.
Terdahulu, City memperoleh dua gol dalam tempoh 20 minit pertama menerusi Julian Alvarez dan Erling Haaland manakala Fati meledak jaringan saguhati buat Brighton.
Namun, City menutup perlawanan dengan layangan kad merah yang diterima tonggak pertahanan, Manuel Akanji dan Guardiola menganggap ia adalah penutup yang mahu dielakkan oleh semua orang.
“Saya tahu apa sebenarnya berlaku dan sekarang ia terjadi kepada kami. Bagaimanapun, kami tetap menerima semua ini,” jelasnya. – AGENSI