ISU berkaitan keterjaminan makanan di Malaysia dilihat semakin serius dan banyak pihak mula mengambil langkah awal untuk memastikan rakyat di negara ini terus mendapat manfaat jangka panjang.
Menyedari peri pentingnya perkara itu, ABS Greentech Sdn. Bhd. (ABS), sebuah syarikat pertanian aktif memainkan peranannya dalam membantu petani meningkatkan hasil tuaian, sekali gus menambah pendapatan mereka dalam keadaan ekonomi sukar sekarang.
Salah satu bidang kemahiran ABS adalah teknologi Integrated Pest Management (IPM), atau pengurusan perosak bersepadu dan banyak projek pertanian yang dijalankan dengan beberapa pihak telah menunjukkan kejayaan seterusnya membantu petani keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Jika petani ada ilmu dalam kaedah pertanian pintar, mereka boleh menjadi jutawan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif ABS, RM Ravichandar dalam satu temu bual selepas majlis penutup Persidangan Asia Smart Farming and Food Security (ASF) 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bersempena persidangan tersebut, 11 perjanjian persefahaman (MoU) bernilai RM550 juta dimeterai membabitkan beberapa negara seperti Arab Saudi, Dubai dan Korea Selatan.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang kepakaran ABS?
Kami adalah syarikat yang terlibat dalam teknologi IPM yang mana perkhidmatan yang ditawarkan adalah bersifat menyeluruh termasuk latihan.
Bermula peringkat pembenihan, kami ajar petani kaedah menanam benih yang betul, memilih dan memberi baja yang tepat, cara memantau tumbesaran pokok, bagaimana mengambil data dan masa sesuai untuk tuai, selain teknologi pembungkusan.
Apa itu teknologi IPM?
Ia merujuk kepada kaedah penanaman yang tidak menyembur racun kimia. Apabila petani sembur bahan kimia pada tanaman, tumbuhan di sekeliling turut menerima kesan jadi hasil tuaian tidak banyak.
Saya jadikan Belanda, yang mana saiznya lebih kecil daripada Pahang sebagai negara contoh yang berjaya dalam IPM. Di Malaysia, kita memiliki tanah yang luas dan saya fikir kita perlu buat sesuatu untuk berubah dalam sektor pertanian.
Berbanding negara lain, adakah Malaysia ketinggalan dalam bidang IPM?
Negara seperti Korea Selatan telah menggunakan teknologi IPM sejak 37 tahun lalu, Jepun sudah 41 tahun dan Taiwan menggunakan IPM sejak 35 tahun lalu. Vietnam juga sudah di hadapan dengan 13 tahun pengalaman dalam bidang ini.
Malaysia baru bermula dan kami yakin persidangan yang dianjurkan syarikat baru-baru ini akan menjadi langkah awal untuk negara kita terus aktif dalam bidang IPM.
Siapakah pelanggan ABS?
Pelanggan kami terdiri daripada agensi kerajaan yang memerlukan latihan dalam bidang ini. Kami menawarkan khidmat membantu petani mendapatkan hasil lebih melalui IPM dan modul yang kami bangunkan adalah hasil kerjasama antara syarikat dengan rakan dari Belanda.
Ia telah diguna pakai oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan kira-kira 11 pegawai daripada jabatan terbabit terlibat dalam latihan ini.
Pelanggan kedua kami adalah petani yang tidak mempunyai pemasaran dan pembiayaan serta tidak tahu tentang teknologi. ABS akan bantu petani dalam bidang pemasaran dan mendapatkan pembiayaan, tetapi pada awalnya mereka perlu menjalani latihan. Jika diberikan ilmu yang betul, mereka boleh berjaya dalam bidang ini.
Apakah kelebihan IPM kepada hasil pertanian?
Kita akan mula melihat kelebihannya pada tahun kedua kerana untuk tahun pertama, fokus adalah untuk mempelajari kaedah yang tepat.
Masuk tahun kedua, hasil pertanian akan meningkat kemungkinan dua, tiga atau sehingga empat kali ganda. Sebagai contoh untuk tanaman cili, hasil boleh dikutip pada bulan ketiga dan kutipan berterusan selama dua bulan tanpa IPM. Dengan menggunakan IPM, petani boleh menuai selama tujuh bulan, bermakna tempoh tuaian menjadi panjang.
Apa rancangan ABS pada tahun depan?
Kami akan memanfaatkan 1,000 petani baharu untuk projek tanaman baharu. Ia antaranya melibatkan tanaman nanas dan cili di Johor dengan keluasan 50 ekar (20 hektar) yang mana kami memerlukan lebih daripada 100 petani.