DAMSYIK, SYRIA – Serangan Rejim Zionis ke atas Syria menghentikan perkhidmatan di dua lapangan terbang utama negara itu, lapor media tempatan yang memetik sumber tentera, dengan Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa penerbangan terpaksa dilencongkan ke Latakia.
Walaupun serangan Israel telah berulang kali menyebabkan penerbangan dihentikan di lapangan terbang yang dikawal kerajaan di ibu kota, Damsyik dan bandar utara Aleppo, ia adalah kali kedua serangan serentak melanda kemudahan itu sejak konflik antara Israel dan Hamas bermula bulan ini.
“Kira-kira pukul 5.25 pagi (waktu tempatan), askar Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Damsyik serta Aleppo.
“Ia menyebabkan kematian seorang pekerja lapangan terbang Damsyik serta mencederakan yang lain.
“Kerosakan material ke atas lapangan terbang-lapangan terbang telah menyebabkan perkhidmatannya terhenti,” kata sumber tentera seperti dilaporkan agensi berita SANA.
Menurut Kementerian Pengangkutan, penerbangan-penerbangan terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang Latakia.
Sumber tentera berkata, serangan serentak itu datang dari arah Mediterranean barat, Latakia dan Bukit Golan di Syria yang diduduki penceroboh haram Israel, demikian menurut kenyataan itu.
Pada 12 Oktober lalu, serangan serentak Zionis menyebabkan kedua-dua lapangan terbang Damsyik dan Aleppo tidak dapat beroperasi, kata pihak berkuasa Syria pada masa itu.
Sepanjang lebih sedekad perang meletus di Syria, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara itu, sebahagian besarnya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbollah dari Lebanon serta kedudukan tentera Syria. – AFP