AKAUN Instagram penyanyi juga pelakon terkenal, Justin Timberlake menjadi sasaran netizen apabila diserang gara-gara didakwa pernah memaksa bekas kekasihnya iaitu bintang pop terkenal, Britney Spears menggugurkan kandungannya.
Rata-rata netizen mengkritik penyanyi berusia 42 tahun itu apabila melabelnya sebagai lelaki tidak bertanggungjawab dan kejam.
Bahkan, orang ramai turut menyifatkan pelantun lagu Cry Me A River itu sebagai seorang yang kejam apabila sanggup membunuh anaknya sendiri, gara-gara tidak mahu bertanggungjawab selepas menghamilkan bekas kekasihnya itu.
“Tidak sangka dia (Timberlake) seorang lelaki tidak bertanggungjawab dan kejam,” ujar seorang peminatnya.
“Luaran nampak seperti lelaki baik, ternyata di dalam dirinya tersimpan kejahatan yang sangat kejam,” kata seorang lagi netizen.
Terdahulu, Spears mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan pernah menggugurkan kandungannya, hasil hubungan dengan Timberlake sewaktu mereka bercinta. Pengakuan tersebut dicatatkan dalam biografi berjudul The Woman In Me.