fbpx

Tukang gunting rambut bukan lagi kerjaya ‘lekeh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MASIH ramai yang menganggap kerja tukang gunting rambut sebagai ‘lekeh’. Momokan itu disebabkan kita masih terbayangkan kedai gunting rambut yang usang yang masih terdapat di pekan kecil atau ceruk bandar.

Tambahan pula, premis itu masih mengenakan caj rendah antara RM5 dan RM8. Kalau satu kepala RM5, 10 orang baru RM50 sehari. Kalau hari tiada orang mungkin hasilnya lebih rendah. Jadi, kerjaya itu dipandang sebelah mata terutamanya golongan muda.

Hakikatnya, ramai tidak sedar kerjaya sebagai tukang gunting rambut mampu menjana pendapatan besar sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu dandanan rambut sama ada lelaki atau wanita.

Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, kedai gunting rambut hipster boleh dianggap seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kedai gunting rambut ini didominasi oleh golongan muda yang menawarkan khidmat secara profesional. Pelbagai trend rambut moden boleh dilakukan daripada fesyen mullet, comma hair sehingga two block.

Caj yang dikenakan oleh kedai gunting rambut ini boleh dikatakan agak mahal iaitu sekitar RM20 hingga RM30. Namun dengan kualiti diberikan, selain suasana kedai yang selesa, ramai sanggup bayar nilai tersebut.

Itu baru gunting, jika mahu mendapatkan khidmat cuci, rebonding atau perm rambut, harganya pasti lebih mahal. Justeru, tidak hairan terdapat beberapa anak muda berjaya meraih pendapatan lumayan sekitar RM10,000 sebulan dengan hanya mengusahakan kedai gunting rambut.

Mereka juga mampu menggaji ramai pekerja yang kebanyakan adalah golongan muda.

Malah, ada sesetengah pemilik kedai gunting rambut mempunyai produk rambut jenama sendiri seperti pomade, syampu dan wax.

Salah seorang pemilik kedai gunting rambut yang berjaya ialah Muhammad Nasrullah yang mendapat anugerah Ikon Usahawan ASEAN.

Beliau merupakan pemilik rangkaian kedai gunting rambut C Cut Hair Salon yang banyak terdapat di sekitar Negeri Sembilan. Menyoroti kisahnya, lelaki itu bermula dengan sebuah kedai kecil, sebelum berjaya membuka beberapa lagi cawangan hasil titik peluh sendiri.

Penulis juga tertarik dengan kejayaan anak muda yang juga seorang TikToker terkenal dikenali sebagai Faeez Cikelon.

Menariknya, anak muda dari Terengganu itu bukan hanya mengusahakan kedai gunting rambut, malah mengeluarkan produk penggayaan rambut jenama sendiri sehingga meraih jualan tinggi setiap bulan.

Melihatkan kepada kejayaan kedua-dua insan ini, penulis merasakan sudah tiba masanya golongan muda membuang stigma kerjaya sebagai tukang gunting rambut tiada masa depan.

Kerjaya tersebut memiliki potensi besar sekiranya diteroka kerana khidmat tukang gunting rambut sentiasa diperlukan sekurang-kurangnya sebulan sekali oleh golongan lelaki. Jadi, kerjaya ini boleh dianggap tiada tarikh luput buat masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI