PETALING JAYA – Demi menyara keluarga yang tiada pendapatan tetap, pelakon Aedy Ashraf mendedahkan terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan empat dan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bukan mudah, Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, berkata keputusan tersebut antara yang paling sukar pernah dilakukan dalam hidup.
“Ketika itu umur saya baru 16 tahun. Kalau lakukan dua perkara itu (belajar dan berlakon) serentak, saya akan gagal melaksanakannya.
“Kalau saya pilih untuk teruskan persekolahan, kami tidak akan ada duit nak makan setiap hari sebab kalau ke sekolah, saya tak boleh lakukan penggambaran langsung,” katanya dalam program Studio Sembang yang dikendalikan oleh pelakon Amelia Henderson baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, selepas berhenti sekolah, dia memberi fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan termasuk aktif menghadiri pelbagai uji bakat dengan menaiki pengangkutan awam bagi memastikan pihak produksi memberinya peluang untuk bergelar pelakon.
“Apabila sudah berlakon, saya memang memberi fokus, pergi uji bakat walaupun terpaksa naik pengangkutan awam seorang diri.
“Sebab itu saya bersungguh-sungguh pada bidang ini dan banyak belajar termasuk banyak membaca tentang ilmu lakonan,” katanya lagi.
Meskipun terpaksa mengenepikan pelajaran, Aedy tidak pernah menyesal malah berbangga kerana pengorbanan dilakukan meringankan beban keluarga.
“Saya pernah cakap dengan ibu biar saya cari duit dan beri peluang kakak sambung belajar. Saya bayar yuran pengajiannya di kolej serta semua bil keluarga.
“Ketika itu umur saya baru 17 tahun manakala kakak pula 19 tahun. Mahu atau tidak pada ketika itu, keputusan sudah diambil dan perlu teruskan sahaja.
“Itu adalah keputusan paling sukar penah saya buat yang beri impak kepada kehidupan sehingga hari ini,” jelas pelakon drama Budak Tebing itu.
Selepas melihat kejayaan dan kemasyhuran yang dikecapi hari ini, Aedy yang juga anak pelakon senior, Liza Zain berkata itu bersyukur selain berbangga dengan segala pengorbanan yang telah dilakukan sebelum ini.
Dia bagaimanapun menegaskan sekiranya diberi pilihan dan ada kemampuan pada ketika itu, pelajaran akan menjadi keutamaan berbanding lakonan.
“Saya rasa segala usaha sebelum ini sudah terbayar. Saya tak kata bangga kerana berhenti sekolah atau tidak memiliki SPM.
“Saya sedar bahawa pendidikan sangat penting dan kalau ada duit walau sedikit pun pada ketika itu, memang akan terus belajar.
“Masalah utama keluarga kami (ketika itu) adalah kewangan, memang tak ada duit langsung,” kongsinya panjang lebar.
Mengimbas semula, Aesy sudah memulakan kerjaya seninya seawal umur 10 tahun dan sudah membintangi puluhan drama serta filem seperti Tentang Bulan, Kisah Cinta Kita dan Projek: Anchor SPM. – KOSMO! ONLINE