DENGKIL – Kira-kira 100 penduduk di beberapa kawasan di sini yang terjejas ekoran banjir kilat susulan hujan lebat petang kelmarin ditempatkan di tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Tiga PPS yang dibuka adalah Dewan Jenderam Hilir, Dewan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) Gemilang dan Dewan MP Sepang Dengkil.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya akan berusaha memindahkan lebih banyak keluarga yang terjejas secara berperingkat.
“Tiga PPS sekitar Dengkil telah dibuka setakat ini dan kita jangkakan pertambahan bilangan keluarga ekoran hujan lebat petang kelmarin.
“Banjir berpunca dari limpahan air dari Sungai Langat. Anggota APM sudah diarahkan bagi membuat pantuan di kawasan ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kawasan yang terjejas adalah Taman Desa, Jenderam Hulu, Kampung Orang Asli Jenderam Hulu, Revolusi Hijau, Taman Lestari, Mewah Kampung Lalang, Kampung Cemperai, Sri Tanjong, Taman Mas, Taman Kristal, Taman Permata dan Taman Baiduri -K! ONLINE