PETALING JAYA – Dikecam imej semakin seksi sehingga dituduh tidak menginsafi kesengsaraan rakyat Palestin, aktres Elisya Sandha menegaskan setiap paparan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya adalah berkaitan kerja sahaja.
Mempertahankan diri, pemilik nama penuh Nur Elisya Sandha Hassan, 24, itu menjelaskan tidak semua kebaikan harus dipaparkan dalam media sosial untuk tatapan umum.
“Semuanya adalah antara saya dan Tuhan. Allah SWT tahu yang terbaik dan itu sudah mencukupi.
“Perlu ke saya menunjuk kebaikan dalam media sosial? Tidak perlu dan saya masih belajar untuk menjadi manusia dan Muslim yang lebih baik,” katanya dalam satu perkongsian InstaStory semalam.
Selain hanya urusan kerja, adik kepada aktres Fasha Sandha itu turut memberi amaran kepada individu yang menyebarkan perkara negatif mengenainya khususnya dalam media sosial.
“Apa sahaja saya muat naik adalah tentang kerja dan kerjaya.
“Anda tidak kenal saya secara peribadi. Saya fikir anda perlu berhati-hati dengan setiap kata-kata yang dikeluarkan mengenainya.
“Alhamdulillah untuk semua perkara.” jelasnya.
Difahamkan, foto sensasi yang dimuat naik Elisya adalah bagi mempromosikan sebuh jenama jam tangan mewah.
Menerusi foto tersebut, Elisya memakai dres sendat berwarna merah jambu yang turut mendedahkan bahagian lenganya.
Busana tersebut mencetuskan rasa kurang daripada netizen malah ada yang kecewa kerana berpendapat aktres tersebut semakin seksi selepas mendirikan rumah tangga.
“Rakyat di Palestin bermati-matian nak selamatkan Islam dan wanita di sana tidur dalam keadaan menutup aurat sebaliknya di Malaysia semakin terdedah dan seksi pula.
“Rasa-rasanya dulu Elisya tidak sebegini (seksi). Tolonglah jaga aurat,” komen netizen.
Sebelum ini, kakaknya Fasha turut menjadi mangsa kecaman ramai apabila dikatakan semakin seksi selepas memiliki badan langsing. – KOSMO! ONLINE