IMPIAN pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menamatkan penantian 32 tahun menjulang Ragbi Piala Agong terlaksana selepas membedil Putrajaya 29-22 di Stadium Ragbi Perak di Ipoh sebentar tadi.
Kemenangan PDRM ternyata satu kejayaan luar biasa bagi pasukan itu selepas kali terakhir mereka mendakap trofi berprestij itu pada tahun 1991.
Pada saingan tersebut, PDRM tampil dengan perlawanan yang baik apabila melakukan lima try menarik dan mengekang asakan lewat juara musim lalu tersebut yang terdesak untuk mencari mata kemenangan.
Kapten PDRM, K. Dinesvaran berkata, dia berbangga dengan semangat juang tinggi barisan pemainnya memastikan impian untuk menamatkan kemarau kemenangan pada edisi 2023 berjaya direalisasikan di Stadium Ragbi Perak di Ipoh.
“Saya tak tahu nak terjemahkan perasaan saya ketika ini kerana saya benar-benar bangga dengan pemain PDRM yang bermain cukup baik sepanjang perlawanan berlangsung.
“Kita boleh lihat sewaktu perlawanan tadi bagaimana mereka bermain, disiplin dan impian mereka untuk muncul juara edisi kali ini benar-benar bersemangat.
“Akhir kata, saya ingin ucapkan tahniah kepada PDRM akhirnya kemenangan menjadi milik mereka semula selepas 32 tahun. Jelas ini menunjukan PDRM mempunyai pemain yang terbaik,” katanya kepada Kosmo! sejurus tamat perlawanan.
Sebagai rekod, kali terakhir PDRM menjulang kemenangan Ragbi Piala Agong adalah pada tahun 1991.
PDRM yang menjuarai perlawanan tersebut membawa pulang piala pusingan, piala iringan beserta wang tunai berjumlah RM20,000, manakala naib juara RM15,000 dan RM10,000 bagi tempat ketiga. –KOSMO! Online