IPOH – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyediakan bayaran berdasarkan jam berkhidmat bagi tenaga pengajar Orang Asli yang pulang ke kampung halaman untuk mengajar ilmu agama.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin berkata, pihaknya memfokuskan kepada pengisian dalaman surau atau dari sudut pengajian.
“Kita agak terhad untuk menyediakan bantuan-bantuan dari bentuk fizikal seperti membina surau, tetapi bagi pengisian dalaman surau, kita sedia membantu.
“Sebagai contoh, dari sudut pendawaian mahupun pengajian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Aktiviti CSR Rahmah Tambun di Kampung Tonggang, Hulu Kinta di sini hari ini.
Menurutnya, YADIM lebih fokus kepada menjaga guru-guru yang memberi khidmat di perkampungan orang asli.
“Kini, kita ada 14 guru orang asli yang telah dilatih dan pulang ke kampung halaman mereka. Mereka ini akan dibayar mengikut jumlah jam berkhidmat,” katanya.
Katanya, pihaknya yakin cara ini kira lebih berkesan kerana mereka (Orang Asli) faham tentang bahasa, budaya, cara hidup, cara makan dan sebagainya.
“YADIM memperuntukkan RM5,000 untuk membuat pendawaian semula di empat rumah Orang Asli di sini. Kebanyakan mereka masih memakai sistem pendawaian yang lama, jadi kita risau jika dibiarkan akan berlaku litar pintas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Shamsuri Abdullah berkata, lebih 500 sukarelawan dengan kerjasama YADIM turun padang menggerakkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rahmah Tambun yang bermula pada 19 Oktober sehingga 21 Oktober 2023.
“Sukarelawan ini terdiri daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) para peserta Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 dan kakitangan Politeknik Ungku Omar,” katanya. – KOSMO! ONLINE