PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di 11 negeri sehingga pukul 6 petang hari ini.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, cuaca buruk itu dijangka melanda Perak melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi kawasan Pantai Timur, ia membabitkan Jeli, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan sementara Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu.
“Turut terlibat iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Rompin di Pahang,” katanya.
Selain itu, ribut petir juga dijangka berlaku di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang di Selangor.
“Bagi kawasan selatan, hujan lebat lebih tertumpu pada daerah Jelebu dan Seremban di Negeri Sembilan, Melaka (Jasin) serta Johor di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak pula membabitkan Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit), Mukah (Mukah), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau).
“Bagi Sabah, cuaca buruk dijangka melanda Pedalaman (Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE