PETALING JAYA – Pelbagai bantuan perubatan kini hanya menunggu masa untuk disalurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘Miles of Smiles’ kepada penduduk Palestin sebaik sahaja pintu masuk utama ke Gaza, lintasan Rafah dibuka.
Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd. Johari Ismail berkata, bagaimanapun, kesemua barangan itu kini diletakkan sementara di sebuah gudang di Madinaty, pinggir bandar Kaherah, Mesir.
Menurutnya, bantuan berjumlah lebih RM7 juta termasuk RM500,000 sumbangan rakyat Malaysia itu meliputi kerusi roda, katil, pembalut luka, lampin pakai buang dan tongkat.
“Kami sudah banyak kali bekerjasama dengan ‘Miles of Smiles’ dan yakin semua barangan ini akan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan. Cuma, cepat atau lambat kita tidak tahu kerana ia bergantung kepada banyak faktor dan di luar bidang kuasa kita.
“Kami dari MCM datang ke sini untuk sama-sama menguruskan pembelian barangan perubatan ini dan akan memastikan semua barangan ini sampai ke Gaza, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Johari berkata, beliau bersama dua lagi anggota misi iaitu Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein akan turut menyertai konvoi Miles of Smiles memasuki Gaza sekiranya keadaan mengizinkan.
Sementara itu, Pengarah Miles of Smiles, Dr. Essam Mustafe mengucapkan terima kasih kepada MCM dan rakyat Malaysia yang prihatin dan menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.
Menurutnya, Miles of Smiles dianggotai NGO dari pelbagai negara termasuk Turki, Kuwait, Afrika Selatan, Jordan, Mesir dan United Kingdom.
“Daripada RM7.1 juta yang berjaya kita kumpulkan melalui gabungan NGO ini, lebih 50 peratus sudah kita belanjakan untuk membeli barangan perubatan.
“Ada lagi yang belum kita beli kerana hari ini (Jumaat) kedai tutup dan stok tidak mencukupi,” katanya.
Pada perkembangan berbeza, kerajaan Mesir dalam kenyataan memberitahu pihaknya memerlukan lebih masa untuk membaiki jalan yang rosak akibat dibom tentera Israel di kompleks imigresen di Rafah. – KOSMO! ONLINE