fbpx

[VIDEO] Wartawan ‘godam’ mesyuarat sulit EU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte. - AFP

THE HAGUE – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte kelmarin memberi amaran kepada Kabinet beliau untuk tingkatkan ke­selamatan online.

Ia berikutan insiden seorang wartawan log masuk ke dalam satu akaun rahsia video persidangan Kesatuan Eropah (EU) dengan menggunakan maklumat dikongsi di akaun Twitter milik seorang menteri.

Stesen penyiaran swasta RTL Nieuws (RTL) melaporkan, wartawan bernama Daniel Verlaan ‘menyertai’ satu mesyuarat terkawal membabitkan menteri-menteri pertahanan Eropah selepas mendapat alamat log masuk dan sebahagian pin kod daripada sekeping gambar yang dikongsi Menteri Pertahanan Belanda, Ank Bijleveld.

Gambar itu menunjukkan Bijleveld masih dikuarantin dan bekerja dari rumah serta ada beberapa dokumen di atas mejanya, menurut RTL.

Wartawan itu menemui lima daripada enam digit kod pin dan selepas itu, dia berjaya mendapat akses ke mesyuarat berkenaan, me­nurutnya.

Rakaman menunjukkan Verlaan berpakaian baju-T berwarna hitam dalam keadaan tersenyum dan melambai ke arah beberapa menteri.

“Kamu sedar ke kamu masuk ke dalam satu persidangan sulit?” soal ketua polisi keselamatan dan hal ehwal asing EU, Josep Borrell kepada Verlaan.

“Ya, ya saya minta maaf. Saya seorang wartawan dari Belanda,” jawab Verlaan yang menyebabkan beberapa peserta mesyuarat itu ketawa.

“Saya minta maaf mengganggu persidangan kamu, saya akan keluar,” kata Verlaan.

Dia berkata demikian selepas diberitahu bahawa perbuatannya ‘satu kesalahan jenayah dan lebih baik kamu keluar sebelum polis tiba’.

RTL menyatakan sebaik Verlaan meninggalkan persidangan, mesyuarat itu segera dibatalkan atas faktor keselamatan.

“Insiden ini menunjukkan bahawa menteri-menteri perlu sedar bahawa mereka perlu berhati-hati di Twitter,” kata Rutte kepada pemberita pada sidang akhbar mingguan pasca-Kabinet.

Gambar yang menyebabkan masalah itu sudah dipadamkan, kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan Belanda kepada RTL.

“Itu satu kesilapan bodoh. Namun, ia menunjukkan kamu harus beri perhatian apabila menghantar satu imej sesuatu mesyuarat,” kata pegawai sama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI