BANDAR GAZA – Doktor-doktor di hospital Gaza terpaksa bergantung kepada lampu telefon bimbit semasa melakukan pembedahan dan mencuci luka pesakit menggunakan cuka akibat tiada bekalan elektrik dan kehabisan bekalan perubatan, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Hospital-hospital di Gaza mencatu bekalan perubatan yang semakin berkurangan dan bahan api untuk generator, manakala penghantaran bantuan dari Mesir masih belum dibenarkan memasuki wilayah Palestin itu.
Pengarah kecemasan Hospital Nasser di Khan Younis, Dr. Mohammad Qandeel berkata, pasukannya sukar menyelamatkan nyawa pesakit apabila katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) penuh, namun bekalan bahan api menyusut dan kakitangan semakin berkurangan.
Tambah beliau, doktor-doktor kini bekerja dalam keadaan yang sangat sukar dan terpaksa melakukan pembedahan dengan bergantung kepada apa sahaja sumber cahaya yang ada.
Dalam sebuah klip video yang dirakam di hospital Gaza, seorang pakar bedah menjahit lengan pesakit di dalam wad yang gelap ketika pembantunya menghalakan cahaya lampu telefon bimbit mereka.
“Sejak awal pagi Rabu lalu, kami menerima 80 pesakit yang parah dan 12 mayat yang terbunuh selepas serangan udara. Antara pesakit yang cedera, dua daripada mereka terpaksa dibiarkan meninggal dunia kerana hospital kehabisan ventilator.
“Kami terpaksa membiarkan mereka mati. Mereka tiba di sini dalam keadaan masih hidup. Beberapa hari lalu, kami memberi amaran risiko kehabisan bahan api. Hari ini (Khamis), ia mula berlaku.
“Kami merawat pesakit menggunakan lampu mudah alih sahaja. Kami tidak mempunyai banyak katil ICU. Kami gagal menyelamatkan lebih ramai orang. Jika berterusan, lebih ramai kanak-kanak dan wanita meninggal dunia tanpa sebarang bantuan perubatan,” kata Qandeel.
Klip video lain memaparkan orang ramai berlari ke arah kawasan berhampiran hospital yang dilanda serangan udara Israel untuk mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan. Penyelamat berpakaian seragam dilihat membawa seorang mangsa ketika orang ramai menjerit ketakutan.
Lebih 200 trak dan kira-kira 3,000 tan bantuan berkumpul di Lintasan Rafah, tetapi kerja-kerja pembaikan masih belum dimulakan untuk membaiki jalan di sebelah Gaza yang rosak akibat serangan udara. – Agensi