JAKARTA – Sekurang-kurangnya 70 ekor burung kakaktua yang disumbat ke dalam botol minuman plastik ditemui di sebuah kapal yang berlabuh di bandar pelabuhan Fakfak, wilayah Papua di Indonesia baru-baru ini.
Jurucakap polis tempatan, Dodik Junaidi berkata, seorang anak kapal terdengar bunyi pelik datang dari sebuah kotak besar mengandungi 64 ekor burung jenis Black-capped lory termasuk 10 bangkai burung semasa ditemui pada Khamis lalu.
“Anak kapal memaklumkan kepada kami bahawa dia mengesyaki ada haiwan di dalam kotak berkenaan selepas terdengar bunyi aneh.
“Setakat ini, belum ada tangkapan dan destinasi kawanan burung itu diseludup juga belum dikenal pasti,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Black-capped lory ialah spesies burung kakaktua yang berasal dari Pulau New Guinea dan gugusan kepulauan kecil berhampiran di situ.
Pemerhati Dagangan Hidupan Liar, TRAFFIC menyatakan kawasan hutan di Indonesia menjadi habitat kepada lebih 130 spesies burung terancam iaitu melebihi jumlah di negara lain kecuali Brazil.
Bagaimanapun, Indonesia berdepan kegiatan perdagangan haram burung secara besar-besaran yang menyaksikan jualan menerusi pasar-pasar unggas di bandar besar negara republik itu atau diseludup keluar.
Lazimnya, burung eksotik diburu dan dibawa keluar oleh penyeludup untuk dijual sebagai haiwan peliharaan dan simbol status individu.
Sesetengah spesies burung seperti kakaktua palma Australia mampu meraih harga setinggi AS$30,000 (RM122,800) di pasaran gelap. – AFP