BARU-BARU ini, laporan Kosmo! minggu lalu mengulas mengenai premis makanan yang tular dan dikunjungi ramai pelanggan kini bertukar suram.
Lebih memilukan, ada antara mereka terpaksa gulung tikar. Situasi itu sudah tentu tidak menyelesakan, apatah lagi ia memberi kesan kepada peniaga dan pekerja premis berkenaan.
Menurut laporan sama, faktor penutupan kedai itu adalah disebabkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan persaingan perniagaan selain kehadiran pelanggan hanya mengikut trend atau bermusim.
Menurut Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan itu antaranya membabitkan kuasa membeli dan produktiviti makanan sesebuah kedai.
“Ada pelanggan yang merasakan makan di luar mahal, maka mereka membatalkan niat untuk berbelanja di luar.
“Faktor lain adalah ada segelintir kedai makan yang tidak mengekalkan produktiviti seperti rasa sedap makanan yang dijual atau yang tular sebelum ini selain turut menjual makanan pada harga yang melampau,” katanya ketika dihubungi.
Bercakap mengenai isu harga makanan melampau, beliau turut mengambil maklum apabila ada golongan peniaga yang terpaksa bertindak demikian.
Keadaan itu berlaku kerana harga barang mentah yang mahal sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan.
Tambah beliau, bagi situasi menang-menang, pelanggan dan peniaga tidak perlu berbalah antara satu sama lain, sebaliknya perlu memainkan peranan masing-masing.
“Pelanggan perlu terus menyokong perniagaan dan pada masa sama, peniaga juga perlu menyediakan perkhidmatan terbaik pada harga yang berpatutan,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha kedai makan, Shamsul Munir Safini, 39, pula berpendapat, untuk mengekalkan bilangan pelanggan, seseorang peniaga perlu mempunyai strategi dan sentiasa positif terhadap kehendak pelanggan.
“Contohnya sentiasa follow up dengan mereka (pelanggan) dan bertanya mengenai rasa makanan.
“Selain itu, peniaga juga perlu menawarkan harga promosi atau istimewa dan berpatutan sebagai penghargaan kepada pelanggan. Tidak dinafikan harga bahan mentah naik, jadi banyak pengusaha terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual.
“Sebagai peniaga, kita sendiri harus bijak dalam mengatur strategi agar kedai makan yang diusahakan terus relevan dan tidak gulung tikar,” kata Pengusaha Restoran Lomaq Coffee di Pulau Pinang itu.
Mengikut laporan sebelum ini, restoran Dapo Pata di Kuala Nerus, Terengganu yang berkonsepkan gerai makanan dalam kontena sehingga penuh pelanggan kira-kira enam tahun lalu, kini bertukar ‘sendu’.
Di Shah Alam pula, seorang pekerja sebuah restoran yang popular dengan hidangan mangkuk mendakwa bilangan pelanggan menurun hampir tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
Sementara itu, menjengah di ruangan komen netizen turut meluahkan pendapat masing-masing antaranya jumlah pelanggan adalah bergantung kepada rasa makanan dan harga yang ditawarkan.
Seorang lagi pengguna media sosial pula mendakwa keadaan ekonomi suram menyebabkan kuasa membeli dan berbelanja dalam kalangan pengguna berkurangan. -KOSMO! ONLINE