fbpx

Mahkamah: Ahli Parlimen Sungai Siput diarah bayar RM80,000 kepada bekas pegawai penyelidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan diarah oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada bekas Pegawai Penyelidik Parlimennya, Indrani Ramasamy kerana memfitnah wanita itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai, Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Collin Lawrence Sequerah pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Menurut peguam Rueben Mathiavaranam yang mewakili Indrani, mehkamah membenarkan rayuan anak guamnya selepas mendapati mahkamah terdahulu terkhilaf apabila menolak saman wanita itu.

“Mahkamah Rayuan juga mendapati hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa Indrani dan Kesavan mempunyai hubungan sulit sedangkan pihak-pihak tidak pernah berhujah mengenai perkara itu.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan responden (Kesavan) diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM80,000. Responden juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM20,000,” kata peguam itu ketika dihubungi media.

Pada prosiding hari ini, Kesavan diwakili peguam Azhar Arman Ali.

Pada 29 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difailkan oleh Indrani pada 16 Julai 2019. Saman tersebut difailkan rentetan kenyataan yang dibuat oleh Kesavan pada 18 Mei 2019.

Kesavan didakwa antara lain mendakwa wanita itu sering mengganggunya dan berniat untuk merosakkan rumah tangganya.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Azimah Omar ketika menolak saman tersebut menyatakan, mahkamah tidak akan membazirkan masa dan sumber untuk memberikan relif kepada pihak-pihak yang datang ke mahkamah dengan tujuan untuk menutup perbuatan tidak bermoral mereka.

Kemudian pada 17 Mei 2022, sebuah portal melaporkan Kesavan dan bekas pembantunya itu saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, Indrani mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember 2021 manakala Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI