BANDAR RAYA HO CHI MINH – Model dan aktres jelita Vietnam, Tran Thi Ngoc Trinh ditahan semalam kerana menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berbahaya, lapor portal berita VNExpress.
Menurut polis, Trinh, 34, akan ditahan selama tiga bulan untuk siasatan berhubung tuduhan melakukan gangguan ketenteraman awam.
Jurulatihnya, Tran Van Dong, 36, juga ditahan kerana didakwa menggunakan dokumen palsu.
Pihak berkuasa menyerbu rumah model tersebut dan merampas beberapa dokumen. Siasatan polis juga mendapati pelakon jelita itu tidak mempunyai lesen untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Trinh disyaki bekerjasama dengan Dong untuk menunggang sebuah motosikal BMW pada 6 Oktober lalu di sebuah kawasan teknologi di bandar Thu Duc.
Polis berkata, dia melakukan perbuatan berbahaya, seperti berbaring dan melutut di atas motosikal, sambil tidak memakai sebarang sut pelindung diri. – AGENSI