fbpx

Isteri gigil nampak perut suami berombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZALEHA menunjukkan gambar kenangannya dengan suami yang maut ditimpa buah kelapa.

JEMPOL – Hajat seorang imam yang meninggal dunia selepas buah kelapa yang dikait jatuh mengenai kepala untuk di­mandi dan dikapankan di Masjid Biru Imam Shafie yang menjadi tempatnya bertugas lebih lima tahun lalu ditunaikan keluarga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin, Aisa Ujang, 66, dikejarkan ke Hos­pital Jempol sebelum disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 11.28 pagi.

Ujar anak keempat arwah, Mohammad Hafiz Halily, 30, ketika kejadian hanya ibunya, Zaleha Abd. Rahman, 60, serta adik, Nurul Nadzirah, 25, yang berpantang anak sulung be­rada di rumah.

“Ikutkan, doktor mahu memindahkan ayah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, namun tak sempat dipindahkan, jantung ayah berhenti berdegup,” katanya ketika ditemui di Felda Wilayah Raja Alias 2, di sini semalam.

ALLAHYARHAM AISA

Sementara itu, Zaleha ber­kata, sebelum kejadian dia se­perti biasa sarapan pagi ber­sama dan arwah memaklumkan mahu mengait buah kelapa.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati apabila tidak mende­ngar bunyi buah kelapa gugur serta suaminya juga masih belum masuk ke dalam rumah.

“Saya pun cakap dengan anak dan pergi melihatnya di belakang rumah. Apabila sampai di pokok kelapa paling ­tinggi, mengigil saya bila nampak suami dah terbaring.

“Masa itu, saya nampak perut suami berombak lagi. Saya terus beritahu anak dan jiran untuk membantu.

“Kebiasaannya, pokok kelapa paling tinggi ini dia tak pernah kait. Tapi, kali ini suami kait dan beberapa biji kelapa sudah dilonggokkan berhampiran pokok,” katanya.

MOHAMMAD HAFIZ menunjukkan lokasi insiden arwah bapanya yang ditimpa buah kelapa di Jempol semalam.

Katanya, mengikut perancangan pada 28 Oktober ini, mereka akan mengadakan kenduri akikah cucu keempat dan suaminya itu agak teruja serta sudah membuat pelbagai persiapan termasuk menempah kambing serta daging untuk dijamu kepada tetamu.

“Jadi pada tarikh yang sama, kami sepakat membuat kenduri arwah. Saya sendiri masih merasai kehilangan ini, malah, ramai yang hadir semalam kerana arwah sepanjang hidupnya rajin membantu rakan-rakan serta kata-katanya juga banyak berunsur nasihat,” katanya.

Arwah meninggalkan seorang isteri, enam anak berusia 23 hingga 38 tahun dan empat orang cucu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang Imam di Masjid Felda Raja Alias 2, di sini, meninggal dunia selepas buah kelapa yang dikaitnya jatuh mengenai kepala dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman pada kepala akibat ditimpa buah kelapa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI