SIAPA sangka gadis ayu berasal dari Kuala Lumpur yang menghiasi Pesona Ahad kali ini begitu meminati sukan ekstrem atau lasak.
Auni Aqilah Abu, 25, yang mesra disapa Auni sanggup melupakan perasaan gayat dan gemuruh demi mengejar cabaran dalam sukan lasak yang disifatkan mampu melatih diri menjadi individu yang kuat.
Bagaimanapun, graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengakui, dirinya cukup bertuah apabila berjaya memasuki sektor pekerjaan awam di saat orang ramai terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Kosmo! Ahad: Apakah sukan yang diminati?
Saya meminati sukan lasak seperti skytrek, flying fox, memandu di litar go-kart dan mendaki gunung.
Apakan kepuasan terlibat dalam aktiviti lasak?
Ia dapat memberikan kecergasan fizikal dan mencerdaskan minda, seterusnya menyiapkan diri saya berdepan dengan cabaran-cabaran baharu.
Sejak bila terlibat?
Saya mula aktif bersukan sejak di bangku sekolah. Ketika berumur 15 tahun, saya sudah mula mendaki bukit anjuran pihak sekolah dengan bukit pertama adalah di Gopeng, Perak.
Bagaimanapun, saya menyimpan keinginan untuk mencuba terjunan udara, namun kos tersebut agak mahal. Tambahan pula, penularan pandemik Covid-19 ketika ini membuatkan saya menangguhkan dulu niat tersebut.
Boleh ceritakan berkenaan kerjaya?
Sebaik tamat pengajian di USM, saya bekerja di bahagian pengurusan Perbadanan Kampung Baru sebelum bertugas sebagai Eksekutif Kredit di sebuah pasar raya. Kini saya bertugas sebagai Penolong Pegawai Perhubungan Unit Komunikasi Korporat di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Komen anda mengenai persepsi masuk perkhidmatan awam kerana dikaitkan dengan ‘kabel’?
Saya akui pernah berdepan dengan persepsi yang sama, namun semua itu rezeki masing-masing. Apa yang penting sentiasa berusaha dan bersikap positif.
Apakah cabaran bergelar penjawat awam?
Sebenarnya bukan semua orang menyukai perkhidmatan awam. Golongan penjawat awam sentiasa dilabel sebagai malas dan kurang membantu dalam memberikan perkhidmatan. Mereka sering kaitkan penjawat awam sebagai makan gaji buta dan sebagainya. Itu hanyalah andaian semata-mata, bukan semua penjawat awam bersikap demikian.
Bagaimana anda menangani cabaran itu?
Kita kena bersikap profesional dan sentiasa memastikan perkhidmatan di tahap terbaik bagi memenuhi kepuasan masyarakat sebagai pelanggan.
Bagaimana pula dengan penampilan?
Apa yang penting kena sentiasa nampak cantik, kemas dan bersabar dalam melayan kerenah orang ramai.
Apa nasihat kepada rakan-rakan yang belum dapat kerja?
Jangan berputus asa dan sentiasa berusaha kerana saya sendiri menghantar 10 resume setiap hari tanpa jemu. Pada masa sama, jangan terlalu memilih pekerjaan dan carilah pengalaman selain mengenepikan rasa malu dalam kerja yang kita lakukan.