PETALING JAYA – Didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Fiza Halim setelah fotonya bersama gadis yang dipercayai anak aktres itu tersebar dalam media sosial, ahli perniagaan Engku Emran tampil menafikan tuduhan tersebut selain menegaskan berita itu adalah fitnah.
Jelas pemilik nama penuh Engku Emran Engku Zainal Abidin itu, dua remaja yang bergambar bersama dirinya di sebuah rumah itu bukanlah anak Fiza sebaliknya anak kepada sahabatnya.
“Sebenarnya, kawan saya dari Terengganu kahwin dengan orang dari Czechoslovakia, jadi anak mereka kacukan. Bulan puasa mereka datang ke Malaysia dan berbuka puasa di rumah saya, kebetulan isteri dia tak ada hanya ada dua anak dia sahaja.
“Saya ambil gambar dengan kedua-dua anak gadis itu tapi ada komen mengatakan yang saya sedang bercinta dengan pelakon tersebut.
“Daripada situ orang buat cerita, masyarakat kita ini macam mana? Dengan komen itu boleh jadi fitnah, saya betul-betul tak faham apa motifnya,” kata Engku Emran dalam satu audio siar.
Lebih teruk, lelaki berusia 48 tahun itu turut memberitahu bahawa gosip tersebut turut memberi kesan emosi kepada Allahyarham ibunya, Salmah Abu Bakar.
“Masa itu arwah ibu saya masih hidup, dia mesej saya tanya ‘apa lagi ini Emran?’ Saya boleh terima perkara ini tapi tidak mak ayah dan anak.
“Anak saya sudah mencecah umur 14 tahun, sudah boleh membaca. Jadi perkara tersebut agak tidak manis,” ujarnya,
Sementara itu, Engku mengakui dirinya tidak terbuka untuk berkongsi masalah dengan rakan-rakan sebaliknya mencari orang berpengalaman seperti ustaz untuk mendapatkan nasihat mahupun pandangan.
“Masalah saya ini kawan saya pun tak tahu. Bagi saya baik saya tanya ustaz, dia lebih berpengalaman.
“Saya buat begitu sebab saya tak mahu hubungan kawan saya dengan mana-mana bekas isteri saya terjejas, biarlah saya meluah kepada mereka yang lebih arif,” ujarnya serius.
Terdahulu, Engku Emran bercerai dengan kakak kepada selebriti terkenal, Noor Nabila setelah dua tahun mendirikan rumah tangga.
Sebelum Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.