PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi satu serbuan di sebuah premis di Taman Pandamaran Permai, Pelabuhan Klang, Selangor pada 19 Oktober lalu.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, susulan serbuan itu, pihaknya menemui sebanyak lapan tong jenis IBC (Intermediate Bulk Container) yang mengandungi minyak masak dan 250 kotak minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi jenama Cap SR Hijauan dan Cap Kebarung.
“Kesemua minyak masak berjumlah 11,050 kg serta beberapa peralatan digunakan seperti pam penyedut minyak, hos getah, pelantar besi, gunting dan beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM43,545,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Menurutnya, KPDN percaya modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan disimpan di stor berkenaan.
“Minyak masak paket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki IBC serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Subseksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.
Armizan berkata, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.
“Siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengenalpasti individu atau syarikat dan rantaian pengedaran minyak masak yang terlibat serta memastikan mereka dikenakan tindakan tegas termasuklah mendakwa di mahkamah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE