fbpx

Pelajar Politeknik, Kolej Komuniti dipupuk budaya Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZABIDI Nasan (depan) menurunkan tanda tangan sebagai melancarkan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak hari ini.

IPOH – Kira-kira 237 pemimpin pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti terlibat menyertai konvensyen mahasiswa yang bertujuan memupuk budaya kepimpinan dalam kalangan mereka dengan ciri-ciri Madani.

Program yang dinamakan sebagai Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 itu melibatkan seramai 92 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari 32 buah Politeknik dan 145 ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari 72 buah Kolej Komuniti.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, antara objektif penganjuran adalah untuk mempertemukan pemimpin-pemimpin mahasiswa Politeknik dan Kolej Komuniti serta pemimpin negara bagi membincangkan peranan dan tanggungjawab di dalam arus kepimpinan dan pembangunan negara

“Diharap dapat memupuk budaya kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri Madani dalam kalangan mahasiswa demi kelangsungan kepimpinan insani di negara ini,” katanya dalam ucapan majlis pelancaran program tersebut yang diadakan di Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan sebagai perasmi utama.

Program mahasiswa itu diadakan selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini dengan membabitkan perbincangan akademik dan perkembangan semasa serta aktiviti sosial dalam kalangan pelajar terlibat.

Sementara itu, Zabidi berkata, pihaknya memberi sokongan kepada penganjuran tersebut terutama apabila melibatkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Apabila ada unsur-unsur CSR, kami membantu bersama. Termasuklah mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), politeknik dan sekolah yang mana ada elemen (aktiviti) golongan miskin kita akan cuba membantu,” katanya.

Dalam hal berlainan, Zabidi berkata, sebagai organisasi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sedia melaksanakan sumbangan membantu rakyat Palestin jika mendapat arahan daripada pemegang taruh badan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI