IPOH – Perak yang kini giat membangunkan industri mineral meneroka teknologi China yang boleh dimanfaatkan oleh negeri tersebut.
Usaha itu dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sedang dalam rangka lawatan mengetuai delegasi ke China di kota Nanning semalam, untuk melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co. Ltd (CREG).
Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, lawatan ke bandaraya yang terkenal dengan gelaran ‘Kota Hijau’ itu bukan sahaja dilihat sebagai usaha mengukuhkan hubungan bilateral Malaysia-China, malah memenuhi jemputan CREG yang diutuskan kepada kerajaan Perak pada September lalu.
“Selain meneroka potensi pelaburan ke negeri Perak, lawatan itu bertujuan meninjau teknologi terkini industri mineral negara itu yang boleh dimanfaatkan oleh Perak sebagai negeri yang berpotensi menjadi hab pembangunan industri tersebut di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Jelas pejabat menteri besar itu lagi, lawatan berkenaan juga membolehkan Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc) selaku penggerak utama industri mineral negeri dapat mengukuhkan hubungan strategik penggunaan teknologi khususnya dalam pengekstrakan unsur nadir bumi secara selamat dan bertanggungjawab.
Tambahnya, ia membolehkan usaha berterusan dilakukan bagi menambahbaik strategi pembangunan industri mineral setelah terbukti berjaya melalui penggunaan teknik In-situ Leaching (ISL) iaitu kaedah paling selamat, mesra alam dan mampan bagi perlombongan Lantanida.
“Lawatan kerja tersebut amat signifikan memandangkan Perak berjaya menjalankan projek perintis perlombongan Lantanida di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak sehingga memberi pulangan hasil kira-kira RM16 juta dalam bentuk royalti kepada Kerajaan Negeri setakat Julai lalu,” menurut pejabat itu.
Dalam lawatan kerja itu, delegasi Perak diberikan penerangan berkaitan pemuliharaan tapak selepas pengestrakan unsur nadir bumi oleh Pengarah Urusan CREG (Guangxi) Rare Earth Co. Ltd., Zhang Xinguang, selain dibawa melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi milik syarikat itu. – KOSMO! ONLINE