PETALING JAYA – Pelakon Cerana Biduk Bu Merah, Sarah Daewood mengakui insiden hitam menjadi mangsa intai seorang kru produksi ketika penggambaran filem berkenaan, lima tahun lalu masih meninggalkan kesan trauma.
Kata pelakon berusia 31 tahun itu, lebih memualkan apabila individu terbabit bukan setakat mengintip, malah sempat merakam lima video ketika dia sedang mandi, termasuk rakaman beberapa hari sebelum pelaku ditangkap.
“Selepas telefon bimbitnya dirampas, kami tidak temui sebarang rakaman namun selepas tengok semula (galeri) satu persatu, ada video dirakamkan pada hari lain.
“Ada satu video dirakam menggunakan telefon bimbit yang dimasukkan dalam bekas plastik beras di bilik mandi inap desa tempat saya tinggal sepanjang penggambaran.
“Video keempat pula, pelaku rakam sewaktu saya habis mandi. Bersandarkan penelitian, sebanyak lima video saya dirakam lelaki berkenaan,” katanya menerusi sesi dalam TikTok.
Menurut aktres tersebut, perasaan malu, marah, sakit hati dan sedih berdepan kes gangguan seksual mengakibat dia hampir enggan meneruskan kerja.
“Lepas kejadian pada petang itu saya rasa ‘down’ sampai macam dah tak mahu berlakon dan kebetulan babak saya pula malam.
“Rasa tak nak jumpa orang, sakit hati sangat. Saya masuk bilik dan menangis saja. Malu semua orang tahu.
“Penerbit dan pengarah, Haizul Anafer serta pelakon, Pekin Ibrahim terpaksa datang pujuk dan beri semangat,” katanya.
Kata alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, dia sudah membuat laporan polis, namun enggan video terbabit dipaparkan sebagai bahan bukti yang berpotensi tersebar.
“Pihak berkuasa minta saya tinggalkan telefon bimbit sebagai bahan bukti jika mahu teruskan kes di mahkamah ketika itu.
“Tapi saya pula bimbang jika video dalam telefon bimbit itu tersebar dan akan menjadi isu kerana saya seorang pelakon,” katanya.
Sebelum ini rakan gandingannya, Pekin dalam filem yang ditayangkan pada 12 Oktober lalu mendedahkan membelasah seorang kru produksi kerana melakukan perkara tidak senonoh mengintai aktres muda.
Selain Pekin dan Sarah, filem genre seram itu turut dibintangi Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat dan Pyan Kepoh. – KOSMO! ONLINE