MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Erling Haaland tidak terlalu gusar dengan situasi sukar dihadapinya selepas dihimpit kemarau jaringan dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
Krisis jaringan dihadapi pemain 23 tahun itu mendedahkannya dengan kritikan yang berat sebelah, namun Haaland sedar perhitungan dengan Brighton, malam ini menjadi peluang terbaik untuknya segera menutup mulut pengkritik tegar.
“Orang akan lebih terkejut apabila saya tidak menjaringkan gol. Apabila saya tidak memperoleh jaringan, media di Norway menjadikannya tajuk utama bahan berita.
“Tetapi, semua itu adalah sesuatu yang bagus dan saya tidak akan pernah merungut. Harus diingat, saya menandatangani kontrak dengan City adalah untuk menjaringkan gol,” katanya.
Jika Brighton mampu mencuri tiga mata di Etihad, ia pastinya akan meletakkan City dalam situasi penuh tekanan selepas turut tewas dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, tunduk 2-1 kepada Wolverhampton dan kalah 1-0 kepada Arsenal.
Rentetan itu, aksi kali ini dilihat cukup penting buat pengendali The Citizen, Pep Guardiola untuk mengelak detik hitam kembali berulang memandangkan kali terakhir pengurus itu alami tiga kekalahan berturut-turut adalah ketika kendalikan Bayern Munich pada 2015.
Mengikut rekod pertemuan musim lalu, City yang menang 3-1 pada perlawanan pertama dipalit keputusan seri 1-1 di perlawanan kedua di Stadium Amex. – AGENSI