PETALING JAYA – Berkongsi tip nyah beku bahan mentah, tetapi peti sejuk jenama ‘SEMG’ pula hangat diperkatakan.
Itu respons yang diterima Public Health Malaysia (PHM) apabila hantarannya tentang risiko membiarkan bahan mentah beku cair di singki melebihi empat jam, turut memaparkan gambar peti sejuk berjenama ‘SEMG’.
“Kaedah ini perlu dielakkan kerana ada risiko keracunan. Daging dan ayam mentah, jika dibiar lama di luar adalah syurga buat kuman dan bakteria.
“Untuk keselamatan, letakkan daging beku di ruangan peti sejuk (bukan beku) seharian atau gunakan fungsi ‘defrost’ ketuhar gelombang mikro untuk cairkan ais sebelum dimasak,” kata hantaran itu.
Orang ramai rata-rata mengaitkan tip oleh PHM itu dengan seorang pempengaruh media sosial, yang mendedahkan dia hanya menempah khas pembalut serta logo jenama mewah, SMEG semata-mata untuk dipasang pada peti ais di rumahnya, baru-baru ini.
“Siapa admin dia ya. Bukan main laju membahan,” kata Aein Syafarina.
“Cantik peti ais min. Macam pernah ku lihat, tapi di mana ya,” usik Faimie Asmau.
“Pandai min. Dalam teguran ada perlian juga,” komen seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE