TELUK INTAN – Padah menyimpan 19,011 keping gambar dan video lucah kanak-kanak dalam pemacu pena, seorang pembantu kedai terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Liew Ming Hui, 24, turut berdepan hukuman penjara tambahan selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman diputuskan setelah tertuduh yang masih bujang itu mengaku bersalah di hadapan Majistret T. Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, Ming Hui yang merupakan anak tunggal didakwa memiliki bahan pornografi iaitu satu unit ‘memory card’ (pendrive) yang mengandungi video dan gambar kanak-kanak.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Langkap pada pukul 4.20 petang, 29 Mei 2023.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Jude Pereira memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda kerana sudah insaf selain ia merupakan kesalahan pertama. Namun Izzuddin memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
Pada prosiding sama, Pereira memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya membuat rayuan, namun permohonan itu ditolak.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula hari ini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hilir Perak dan pemeriksaan lanjut menemukan sebuah komputer riba, satu unit adaptor komputer dan satu unit pemacu pena.
Siasatan mendapati terdapat sebanyak 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar kanak-kanak pornografi di dalam pemacu pena yang dirampas. – KOSMO! ONLINE