SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya pada tahun 2018 dan 2019.
Tertuduh berusia 29 tahun walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 10 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Nibong Tebal kira-kira pukul 11 malam, Disember 2018.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun di lokasi sama kira-kira pukul 9 pagi pada 2019.
Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Amira tidak mencadangkan jaminan susulan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan kerana perlu menanggung keluarga termasuk tiga anaknya yang berusia antara tiga tahun sehingga lima bulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh turut diarahkan tinggal berasingan dengan mangsa dan dilarang menghampiri mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, tertuduh gagal membayar wang jaminan yang dikenakanya itu. – KOSMO! ONLINE