LONDON – Pelumba pasukan Mercedes, Valtteri Bottas mengakui sudah mula memikirkan perancangan untuk mengharungi musim 2021 selepas terlepas gelaran dunia Formula Satu kepada rakan sepasukan, Lewis Hamilton kali ini.
Sebagai rekod, pelumba kelahiran Finland itu gagal mempamerkan aksi yang diharapkan dalam usaha untuk mencabar kedudukan Hamilton pada Grand Prix (GP) Turki minggu lalu selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-14
Kata Bottas, dirinya kini semakin tenang tetapi tumpuan tetap akan diberikan bagi mengharungi baki tiga perlumbaan musim ini di GP Bahrain, GP Sakhir dan GP Abu Dhabi yang akan bermula pada minggu depan.
“Saya akui agak terkilan dengan kedudukan pada perlumbaan di GP Turki kerana saya berlumba dalam keadaan tertekan selain terdesak untuk memburu kemenangan bagi mencerahkan peluang merebut kejuaraan dunia.
“Mungkin ia adalah kesilapan besar yang saya lakukan dan kini saya belajar dari pengalaman itu agar dapat beraksi dengan lebih tenang pada tiga perlumbaan terakhir nanti.
“Justeru, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan F1 musim ini dengan positif agar momentum tersebut dapat diteruskan bagi mengharungi perlumbaan tahun depan yang dijangka lebih kompetitif dan terbuka,” kata Bottas.
Pelumba berusia 31 tahun itu sebelum ini sudah menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama pasukan Mercedes dan kini menunggu siapa bakal menjadi rakan sepasukan musim depan selepas Hamilton masih belum menandatangani kontrak baharu. – AGENSI